Kerajaan menetapkan sebanyak 20 orang bagi mengendalikan seekor haiwan untuk ibadah korban pada Aidiladha tahun ini.

KUALA LUMPUR – Ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha hanya boleh dilakukan di masjid yang akan ditetapkan.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin berkenan untuk membenarkan ibadah itu dibuat di masjid yang dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu sahaja meliputi mukim zon hijau.

Perkara tersebut diputuskan selepas berbincang dengan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Mohd Shahzihan Ahmad.

“Baginda mengizinkan ibadat hanya di kawasan Masjid Negeri, 38 masjid yang dibenarkan untuk solat Jumaat dan fardu serta masjid di zon hijau.

“Korban tidak boleh dilakukan di surau dan orang ramai digalakkan menunaikan ibadat itu di masjid dibenarkan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Tambahnya, antara masjid yang dibenar melakukan ibadah korban ialah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, 38 masjid yang sebelum ini dibenarkan untuk solat Jumaat dan fardu berjemaah serta masjid di seluruh negeri dalam mukim zon hijau (tertakluk kepada kedudukan semasa mukim). – MalaysiaGazette