Pegawai Khidmat Pelanggan TNB melakukan kerja harian di Menara PKNS, Petaling Jaya, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 16 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Ada sebahagian daripada kita yang terkejut apabila melihat bil elektrik mereka semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB). Ini telah mencetuskan perdebatan sama ada apakah bil elektrik kita terlalu tinggi?.

Namun persoalan yang lebih besar adalah: adakah kenaikan bil elektrik itu hanya berlaku di Malaysia sahaja, atau adakah ia fenomena global?

Penularan pandemik COVID-19 telah menyebabkan kita mengharungi tempoh getir yang tidak menentu dan belum pernah terjadi sebelum ini, dan dengan keadaan seluruh dunia berada di bawah sekatan pergerakan, ramai yang menghabiskan lebih banyak masa di rumah berbanding sebelumnya.

Menurut satu laman web kaji selidik, Populus, trend kenaikan bil elektrik itu juga dapat dilihat di negara-negara lain dengan United Kingdom mencatatkan purata peningkatan £32.31 (RM173.17) sebulan.

Di New York, penggunaan elektrik pada hari bekerja di pangsapuri meningkat sebanyak tujuh peratus selepas perintah duduk di rumah, manakala penggunaan pada hujung minggu melonjak empat peratus.

Trend yang sama turut berlaku di seluruh dunia tanpa mengira status ekonomi termasuk di Australia, Singapura, Indonesia, Thailand, India serta Hawaii.

Memandangkan bekerja dari rumah merupakan penyelesaian utama semasa tempoh tersebut dan sekolah terpaksa ditutup, tidak dapat dielak penggunaan elektrik akan meningkat dengan drastik.

Bagi yang berada di rumah, kebanyakan daripada mereka juga mula dilanda hobi baharu mencuba memasak beraneka jenis makanan bagi keluarga termasuk resipi yang tidak pernah mereka terpikir untuk mencubanya sebelum ini.

Menurut laporan, jualan dalam talian perkakas elektrik seperti ketuhar, pengadun dan mesin pembuat roti melonjak semasa tempoh PKP.

Namun berapa ramaikah pengguna yang sebenarnya mengambil tahu berapa banyak elektrik yang digunakan oleh peralatan tersebut?

Berdasarkan kepada pengiraan, peralatan elektrik seperti pemanas air, penyaman udara, ketuhar gelombang mikro, ketuhar, periuk induksi, mesin basuh dan mesin pengering serta lampu menggunakan sebahagian besar daripada penggunaan tenaga di rumah.

Dan ditambah dengan penggunaan Internet 24 jam akan meningkatkan lagi penggunaan elektrik.

Internet dan kabel yang tidak dicabut juga menjadi antara penyumbang kepada kenaikan bil elektrik.

Meskipun penggunaan elektrik dalam kalangan pengguna elektrik komersial dan perindustrian mencatatkan penurunan, namun berbeza pula dengan pengguna kediaman yang mencatatkan peningkatan penggunaan apabila aktiviti kehidupan beralih daripada pejabat ke rumah.

Seperti yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, pelanggan elektrik Tenaga Nasional Bhd akan mendapat diskaun bagi bil elektrik mereka untuk tempoh enam bulan akan datang.

Ketua Pegawai Runcit TNB Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata 6.3 juta pelanggan kediaman B40 dan M40 TNB akan dapat menikmati kadar diskaun itu daripada lebih 7.5 juta pengguna dalam segmen kediamannya.

Oleh itu, lebih daripada 80 peratus pelanggan TNB akan menerima diskaun antara 15 peratus dan 50 peratus bagi penggunaan elektrik dengan had maksimum 600 kilowatt sebulan dari 1 April hingga 30 Sept, 2020.

Bagi pelanggan bukan kediaman, ia termasuklah kategori tarif berikut:

Komersial (pengendali hotel, agensi pelancongan, pejabat syarikat penerbangan tempatan, gedung membeli belah, pusat konvensyen dan taman tema) = 15 peratus.

Komersial (selain enam sektor terpilih itu), perindustrian, pertanian (khusus) = dua peratus.

Ini sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk menjana semula ekonomi Malaysia serta melindungi kebajikan rakyat.

Ketika kerajaan terus berjuang memerangi musuh yang tidak kelihatan ini, rakyat Malaysia perlu kekal bersatu padu dan bekerjasama untuk mengukuhkan ekonomi tempatan yang terjejas akibat pandemik itu.

Semoga kita semua bersama-sama akan dapat melihat pengakhiran kepada perjuangan ini dan bangkit semula dengan lebih kukuh daripada sebelumnya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. kalau TNB tak tangani masalah ini dgn bijak maka akan berlakulah banyak kecurian elektrik kerana rakyat akan menganggap TNB mengambil kesempatan atas mereka terutamanya yg tak berkemampuan…

  2. Semakin kaya tnb semakin mereka tekan rakyat marhaen..diskaun yg dicanang indah khabar dr rupa..patut tnb jadi mcm Lembaga Letrik Negara dulu..bantu hidup rakyat..skrg kuasa monopoli di tgn mereka..mereka boleh buat ape saje..kes bil tak selesai..skrg nk peluas smart meter yg lagi teruk..lepas pasang di melaka TNB untung 2 bilion..mcm celaka

Comments are closed.