Hujan yang lebat awal pagi ini sehingga menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di daerah Muar, turut mengakibatkan dua jalan utama dinaiki air sehingga tidak boleh dilalui kenderaan berat mahupun ringan.

MUAR – Hujan yang lebat awal pagi ini sehingga menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan di daerah Muar, turut mengakibatkan dua jalan utama dinaiki air sehingga tidak boleh dilalui kenderaan berat mahupun ringan.

Pegawai Daerah Muar, Datuk Mohd Haffiz Ahmad berkata, hujan lebat yang bermula pukul 5.00 pagi sehingga 9.00 pagi ini, telah menyebabkan dua jalan terputus hubungan iaitu Jalan Bakri Batu 9 dan Jalan Bakri Batu 10.

Dua lagi jalan yang dinaiki air iaitu Jalan Kangkar Senangar dan Jalan Dato Haji Kosai, setakat ini masih boleh dilalui kenderaan berat dan ringan.

Terdapat tiga kawasan penempatan penduduk dinaiki air iaitu Kampung Sabak Awor, Taman Bakariah dan Kampung Parit Jamil.

“Hujan lebat melebihi 100 milimeter (mm) mulai pukul 5.00 pagi ini di beberapa stesen bacaan hujan di daerah ini.

“Air pasang telah menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan. Namun, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan laporan akan dikemas kini dari semasa ke sesama,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara dibuka dan pihak berkuasa serta agensi berkaitan akan sentiasa memantau keadaan semasa, katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast