Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Satu kluster baharu dikesan di Labu Lanjut apabila terdapat lima kes positif Covid-19 di kawasan Sepang itu, kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah, Kementerian Kesihatan Malaysia itu berkata ia merupakan kes indeks di mana seorang pesakit dirawat untuk Acute Respiratory Infection (ARI) di Hospital Serdang dan beliau dikesan positif pada 5 Jun lalu.

Jelas beliau, aktiviti pengesanan kes secara aktif (ACD) telah mendapati empat ahli keluarga beliau iaitu masing-masing dua anak dan cucu turut dikesan positif virus Covid-19.

“Tiga ahli keluarga tinggal serumah dengan beliau manakala seorang lagi dari tempat kediaman yang lain.

“Siasatan dan saringan kontak rapat terus dijalankan di mana setakat ini seramai 29 orang telah dikenal pasti dan disaring,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan Covid-19 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham bagaimanapun memberitahu, seramai 25 kontak rapat telah didapati negatif Covid-19.

“Punca jangkitan kluster ini masih dalam siasatan namun penularan Covid-19 disyaki mungkin berkaitan dengan aktiviti kunjung-mengunjung,” katanya. – MalaysiaGazette