Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain selepas selesai proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Institut Kemahiran Belia Negara Pekan, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 20 JUN 2020

CHINI – Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain, 41, berazam untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun semasa memegang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini.

Dalam nada sebak, beliau berkata tekad itu dizahirkan selepas melihat ketekunan Abu Bakar dalam mendepani masalah rakyat di sekitar Chini.

Menyifatkan Allahyarham Abu Bakar sebagai bapanya, katanya, perjuangan yang telah dipamerkan penyandang kerusi itu sebelum ini menjadi pendorong kepadanya untuk membantu rakyat.

“Saya akan meneruskan perjuangan Datuk bersama pimpinan Chini. Insyaallah saya akan buat apa yang telah direncanakan,” katanya sebak.

Perkara itu dizahirkan Mohd Sharim selepas menziarahi pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Chini.

Beliau meluangkan masa kira-kira 20 minit membawa surah Yassin.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain menziarahi kubur Datuk Seri Abu Bakar Harun selepas selesai pada hari Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Tanah Perkuburan Islam Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JUN 2020

Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas.

Dalam pada itu, ketika ditemui media sebaik selesai proses penamaan calon di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Pekan, Mohd Sharim berkata beliau akan mengutamakan kepentingan masyarakat Felda dan orang Asli di Chini.

“Saya tidak sangka diri saya akan diletakkan sebagai calon. Apabila saya diberi amanah dan kepercayaan pastinya saya mengambil tanggungjawab ini dengan terbaik sebagai anak peneroka generasi kedua yang menjadi wakil untuk masyarakat bagi orang Felda, kampung tradisi dan masyarakat orang asli,” katanya.

Untuk rekod, Mohd Sharim adalah Ketua Pemuda UMNO Felda Chini Timur 3, Ahli Jawatankuasa UMNO Pekan dan Naib Presiden Majlis Belia Pahang.

“Saya ucapkan syukur kerana dipermudahkan pencalonan saya sebagai calon BN. Hari ini saya selalu calon BN memegang satu amanah untuk meneruskan legasi perjuangan Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun iaitu mentor saya bersama rakan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional.

“Dari segi kerja-kerja jentera akan dibuat di peringkat DUN Chini bagi kempen yang mengikuti SOP yang telah ditetapkan,” katanya lagi.

Mohd Sharim bakal berentap dalam pertembungan tiga penjuru dalam PRK Chini pada 4 Julai depan.

Turut mahu merampas kerusi itu adalah dua calon Bebas iaitu ahli perniagaan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan aktivis masyarakat Mohd Shukri Mohd Ramli, 49 tahun.

Pada PRU14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon Pas Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065). – MalaysiaGazette