KUALA LUMPUR – Pengamal perubatan antara lima lelaki yang ditahan polis di Petaling Jaya kerana memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi daripada ditetapkan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, mereka yang ditahan dalam Op Alkohol dan Pencegahan Jenayah itu berusia antara 26 dan 62 tahun.

“Hasil tinjauan semalam, menunjukkan masih ada pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya menerusi kenyataan.

Op Alkohol dan Pencegahan Jenayah itu bermula 11 malam pada 19 Jun hingga 3 pagi, 20 Jun 2020 yang memfokuskan beberapa lokasi di Petaling Jaya.

Ia bertujuan membanteras dan mencegah pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol sekaligus membahayakan keselamatan dan juga menyebabkan kematian kepada orang lain.

Sepanjang operasi tersebut seramai 508 pengguna jalan raya dan 356 kenderaan telah diperiksa.

Dalam operasi yang sama Nik Ezanee memaklumkan, anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) PJ juga telah mengeluarkan  26 saman atas pelbagai kesalahan trafik.

Kesemua mereka telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 45(A)1 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau turut memberi jaminan Polis IPD Petaling Jaya akan terus melakukan operasi ini secara konsisten.

“IPD Petaling Jaya akan terus melaksanakan operasi ini kepada semua pengguna jalan raya yang melalui kawasan-kawasan di dalam pentadbiran polis daerah Petaling Jaya,”katanya lagi. – MalaysiaGazette