Neelofa Mohd Noor

KUALA LUMPUR- Impian pengacara Neelofa menubuhkan pertubuhan kebajikan demi membantu golongan yang memerlukan akhirnya tercapai selepas beberapa tahun.

Menamakannya sebagai Pertubuhan Kasih Neelofa, ia merupakan platform untuk pengacara yang juga usahawan terkenal itu mendalami masalah masyarakat yang susah.

“Sejujurnya, saya sudah lama berhajat membangunkan pertubuhan demi membantu golongan yang memerlukan. Namun, saya tidak mahu ia berjalan tanpa membabitkan saya secara keseluruhan.

“Saya mahu memberi fokus seratus peratus dan mendalami masalah dihadapi oleh masyarakat,” katanya.

Katanya, tiga teras utama yang diberi perhatian dalam Pertubuhan Kasih Neelofa adalah keagamaan, kemasyarakatan dan bantuan untuk golongan kurang bernasib baik.

“Teras keagamaan meliputi apa sahaja aktiviti seperti program keilmuan dan keagamaan. Bagi teras kemasyarakatan, kami akan cuba mendekati komuniti dengan melaksanakan program bersama tenaga kerja Pertubuhan Kasih Neelofa dan sukarelawan.

“Bagi teras bantuan untuk golongan kurang bernasib baik pula, kami fokus kepada mereka yang terpinggir dan kurang berkemampuan seperti asnaf, ibu tunggal dan anak yatim.

“Kami akan cuba mendekati golongan ini dengan mendengar keluhan serta masalah mereka. Kemudiannya, kami cuba menyelesaikan atau meringankan beban melalui bentuk sumbangan atau penganjuran aktiviti amal,” katanya dipetik sebagai berkata.

Selain itu, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor berkata, dia turut menubuhkan syarikat Kasih Neelofa Resources, entiti yang akan menjana pendapatan  untuk pertubuhan itu bergerak.

Bersempena Aidiladha yang bakal menjelang, Qurban Kasih Neelofa adalah aktiviti pertama akan dilancarkan di bawah pertubuhan tersebut dengan memberi peluang kepada individu  melaksanakan ibadat korban dengan mudah, selain memberi ilmu pengetahuan kepada orang ramai.

“Menerusi program Qurban Kasih Neelofa ini, kami berharap agar dapat memudahkan proses golongan yang ingin melaksanakan ibadat korban. Kami berharap ia dapat menambah ilmu orang ramai mengenai kepentingan dan kebaikan ibadat korban,”tambahnya dipetik sebagai berkata.

Beliau berharap agar niatnya untuk membantu golongan yang memerlukan menerusi penubuhan Pertubuhan Kasih Neelofa akan mendapat respon positif daripada masyarakat.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Alhamdulillah. Mission Statement yg hebat. Kami di Yayasan Kasih Warga Emas Malaysia (YAWAMAS) sedia bekerjasama dgn Pertubuhan Kasih Neelofa utk membantu insan istimewa, terutama warga emas yg kerap kali terlepas pandang.

    BAM AL-HAJ
    CEO YAWAMAS
    0198709432

Comments are closed.