Penguatkuasa MPK merampas perkakasan hiburan dari sebuah premis hiburan di Bandar Botanik, Klang kerana beroperasi tanpa lesen. kredit foto: Saluran Komunikasi MPKlang

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Klang (MPK) menggempur sebuah premis hiburan di Bandar Botanik, Klang kerana beroperasi tanpa lesen.

Menerusi kenyataan di Facebook, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan, serbuan ke atas premis berkenaan yang dilakukan malam kelmarin turut disertai sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Klang Selatan.

Menurut MPK, berdasarkan siasatan mereka mendapati, premis terbabit tidak memperbaharui lesen bagi aktiviti lounge (ruang rehat).

“Premis ini hanya mempunyai lesen perniagaan untuk aktiviti restoran sahaja serta mempunyai permit untuk menjual arak (sehingga 30 Jun 2020) dan pemeriksaan juga mendapati premis ini tidak memperbaharui lesen bagi aktiviti lounge.

“Pihak pasukan mengambil tindakan sitaa di bawah kesalahan Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan (Selangor) 1995 (Pindaan 1998 & 2001),” demikian menurut kenyataan itu.

Kata MPK lagi, kesemua barangan yang disita telah dibawa ke stor Jabatan Penguat Kuasa dan diserahkan kepada Unit Stor MPK untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette