KUALA LUMPUR – Agrobank menyediakan pembiayaan perumahan sehingga 105 peratus kepada nelayan di daerah Bunut Rendang, Kuantan Pahang di bawah Program Kediaman Mampu Milik-i (PKMM-i) bagi Projek Penempatan Semula Nelayan (PPSN) di kawasan itu.

Menurut Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank, Ahmad Shahril Mohd. Shariff, Agrobank menawarkan pembiayaan sebanyak RM36,750 bagi setiap rumah dengan nilai keseluruhan pembiayaan untuk kesemua 75 unit rumah adalah sebanyak RM2.75 juta.

Tambahnya, pembiayaan yang ditawarkan oleh Agrobank melalui program PKMM-i itu secara tidak langsung membuka peluang kepada nelayan berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan untuk memiliki rumah sendiri.

“Kami di Agrobank sangat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pahang dan LKIM sebagai pembiaya utama kepada projek ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PPSN merupakan inisiatif bersama antara Kerajaan Negeri Pahang dan Lembaga Pembangunan Perikanan Malaysia (LKIM) di mana Agrobank diberi kepercayaan sebagai pembiaya utama bagi projek ini.

Kerjasama itu bertujuan untuk membantu komuniti nelayan di kawasan tersebut untuk memiliki rumah sendiri dan tempat tinggal yang lebih selesa.

Ini juga merupakan usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi dan kesejahteraan komuniti nelayan tempatan di Pahang secara keseluruhan. – MalaysiaGazette