KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 kes baharu positif Covid-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam sehingga pukul 12 tengahari, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 8,587 kes.
Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 13 kes adalah bukan warganegara manakala dua lagi adalah kes import.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 21 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 8,177 kes (95.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).
Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 289 kes yang mana mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.
“Ingin dimaklumkan daripada 15 kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara di mana mereka adalah warganegara Malaysia.
“Tiada kes penularan Covid-19 di dalam negara di kalangan warganegara. Kesemua 13 kes penularan di dalam negara adalah di kalangan bukan warganegara,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.
Menyentuh kes jangkitan bukan warganegara, Noor Hisham berkata, satu kes direkodkan di Selangor iaitu kes saringan pembedahan di Hospital Selayang manakala baki 12 kes adalah daripada Kluster Pedas di negeri Sembilan.
“Status terkini kluster ini adalah sebanyak dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya sambil menambah tiada pertambahan kes kematian, sekali gus jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 121 kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette