Aminuddin Harun

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Aminuddin Harun menafikan dakwaan pembangunan tanah milik peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang dilaksanakan secara besaran-besaran oleh syarikat swasta membabitkan pelaburan asing.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, kerajaan negeri tidak pernah menerima sebarang cadangan pembangunan tanah peneroka Felda sebagaimana yang dilaporkan di media massa.

Berikutan itu, beliau menasihatkan peneroka Felda di negeri tersebut tidak terpengaruh dan mengelak tawaran pembelian tanah bagi tujuan pembangunan.

“Pada dasarnya, cadangan pembangunan di Negeri Sembilan khususnya yang berskala besar perlu dinilai kesesuaian pelaksanaanya terlebih dahulu di peringkat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan mengambil kira ulasan dan pandangan jabatan berkaitan.

“Permohonan Kebenaran Merancang juga perlu dikemukakan sama ada di peringkat One Stop Centre (OSC) Pihak Berkuasa Tempatan atau Jawatankuasa Perancang Negeri bagi memastikan cadangan pembangunan yang bakal dilaksanakan mematuhi Garis Panduan Perancangan sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Aminuddin, pada Mac lalu, Pegawai Daerah Jempol pernah membuat penjelasan melalui kenyataan media berhubung perkara itu yang membabitkan syarikat sama.

Tambah beliau, orang ramai atau peneroka yang terlibat secara langsung boleh merujuk kepada pihak berkuasa untuk mendapatkan penjelasan menegai perkara tersebut.

Mengulas mengenai pembinaan Kompleks Pentadbiran Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Pilah, Aminuddin berkata, ia merupakan projek kerajaan negeri bagi menggantikan kompleks lama memenuhi keperluan umat Islam setempat yang semakin meningkat.

Ujar beliau, projek pembinaan kompleks PAID Kuala Pilah telah dianugerahkan kepada kontraktor MZA Teguh Jaya (Kelas G5).

“Projek ini telahpun dimulakan pembinaannya pada 11hb. Mac 2020 lagi dan dijadualkan siap pada 13hb. Julai 2021 dengan kos pembinaan sebanyak RM4,351,857.80.

“Hanya kerja-kerja pembersihan sahaja yang sempat dijalankan sehinggalah semua kerja diberhentikan akibat Pendemik Covid-19 yang melanda.

“Skop pembinaan projek adalah melibatkan pembinaan satu blok bangunan pejabat dua tingkat, pondok pengawal, rumah sampah dan bangunan sub station TNB,” katanya. – MalaysiaGazette