KUALA LUMPUR – Pelakon hollywood yang terkenal, Kristen Stewart bakal membawa watak Puteri Diana menerusi filem Spencer.

Dijangka memulakan penggambaran pada tahun depan, filem itu memaparkan sisi kehidupan Puteri Diana selepas keretakan rumah tangga dengan Putera Charles.

Pengarah filem itu, Pablo Larrain dipetik sebagai berkata, beliau memilih Kristen kerana bintang filem Twilight tersebut antara aktres muda yang bijak mempelbagaikan watak.

“Untuk menjayakan watak Puteri Diana, anda memerlukan seorang pelakon yang berbakat. Saya dapat lihat ciri-ciri itu daripada Kristen.

“Dia seorang yang misteri, malah pernah menjayakan pelbagai watak wanita yang lemah namun tetap mempunyai kekuatan dalaman dalam dirinya. Itu yang jadi penyebab kenapa saya memilih Kristen,” katanya.

Bagaimanapun, Pablo memberitahu, filem itu nanti tidak akan memaparkan kematian tragik yang berlaku terhadap puteri kesayangan ramai itu.

Diana berkahwin dengan Charles pada 29 Julai 1981 tetapi usia perkahwinan mereka berakhir pada 28 Ogos 1996.

Diana meninggal dunia akibat nahas jalan raya di Paris, Perancis pada 31 Ogos 1997. Turut maut ialah teman lelakinya, Dodi Al-Fayed. –MalaysiaGazette