Foto hiasan

SHAH ALAM – Penebangan hutan untuk memberi laluan kepada projek-projek pembangunan bukan perkara baharu dan isu ini sering dibangkitkan oleh pertubuhan alam sekitar serta penduduk berhampiran yang terjejas selain turut didedahkan oleh media.

Tetapi, bagai mencurah air ke daun keladi atau ibarat anjing menyalak bukit, kegiatan menarah dan membersihkan hutan terus dilakukan secara rakus tanpa mempedulikan flora dan fauna yang berlindung di situ demi membangunkan “hutan batu”.

Situasi itu turut dialami penduduk di Perdana Heights, Seksyen U10 di sini yang bimbang dengan nasib kawasan hutan yang terletak kira-kira 200 meter dari taman perumahan mereka apabila kerja-kerja “membotakkan” kawasan tersebut giat dilaksanakan, dipercayai untuk membina kawasan perumahan baharu.

Namun, penduduk mendakwa tiada sebarang makluman diberikan pihak berkuasa mahupun pemaju mengenai projek itu yang dianggar seluas 20 hektar, didakwa membabitkan kawasan hutan simpan, dan dijangka siap lima tahun lagi.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan pembinaan ditutup rapat, menghalang pandangan dari luar akan kerja-kerja yang dilakukan di dalam kawasan tersebut.

Bernama juga mendapati kebenaran dalam dakwaan penduduk mengenai suasana damai di situ apabila kedengaran bunyi unggas selain udara yang nyaman dari hutan berhampiran kawasan perumahan yang menempatkan 140 kediaman tersebut.

Difahamkan projek pembangunan itu bermula pada 16 Mac, iaitu dua hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, justeru menimbulkan persoalan bagaimana projek tersebut berjalan seperti biasa sedangkan tapak pembinaan antara yang tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP.

Pengerusi Persatuan Penduduk Perdana Heights Abd Hamid Othman, 70, mendakwa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bukan sahaja tidak berunding dengan penduduk di kawasan itu berhubung projek pembangunan berkenaan bahkan gagal membuat pemakluman mengenai pelaksanaan projek.

 “Kami nak jumpa MBSA untuk dapatkan penjelasan dan kami mahu bincang bagaimana kami dapat selamatkan alam sekitar ini agar kekal seperti sebelum ini. Kami risau akan berlaku hakisan tanah selain gangguan hidupan liar yang terpaksa mencari makan di tempat kami kerana habitat mereka sudah musnah,” katanya yang telah 12 tahun menetap di situ.

“Di sini hidupan liar umpamanya tapir yang datang waktu malam, babi hutan, kera, monyet dan pelbagai spesies burung yang berwarna-warni. Tasik ini kita boleh lihat kadang-kadang warnanya bertukar daripada hijau kepada coklat,” katanya lagi ketika ditemui Bernama.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ram, 50, meluahkan rasa kecewa terhadap perubahan yang berlaku di kawasan berkenaan serta kesal dengan sikap pihak berkuasa yang disifatkannya seolah-olah merahsiakan projek berkenaan daripada orang awam.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad ketika ditanya Bernama, berkata MBSA memberikan kebenaran untuk tanah yang dimiliki pihak tertentu tersebut dibangunkan.

“Kebenaran Merancang (KM) termasuk melakukan kerja-kerja tanah diluluskan MBSA untuk aktiviti pembangunan di kawasan itu. Tanah yang dibangunkan itu adalah milik pihak tertentu dan dibenarkan untuk dibangunkan … berkemungkinan kawasan itu akan dibina dengan taman perumahan atau projek lain mengikut kehendak pemilik tanah,” jelasnya.

Dalam pada itu,  Sahabat Alam Malaysia (SAM) ketika dihubungi Bernama berkata proses pembersihan hutan tidak sepatutnya diluluskan tanpa berunding terlebih dahulu dengan penduduk di kawasan berhampiran yang mungkin terjejas dengan kerja-kerja tersebut.

“Memang sedih bila melihat semakin banyak hutan dibersihkan atas nama pembangunan. Kami khuatir jika isu ini berterusan akan turut menjejaskan kualiti kehidupan masyarakat setempat,” katanya, menambah mereka juga “kehilangan” hidupan liar yang menjadi sebahagian ekosistem di kawasan terbabit.

— BERNAMA

 

1 Komen

  1. Pakat ramai2 buat piket dan buat bantahan. Klang valley penduduk sebenarnya dah terlalu padat. Nanti timbul bencana lain polusi, banjir , kenaikan suhu dan sebagainya

Comments are closed.