KUALA LUMPUR – Operasi menjejak pendatang asing tanpa izin (pati) dan menghantar pulang mereka ke negara asal dapat menyelesaikan banyak masalah yang berlaku dalam negara.
Ketua Penerangan Pas Malaysia, Kamaruzaman Mohamad berkata, walaupun langkah itu dipergiatkan oleh kerajaan bagi mengawal penularan Covid-19, tetapi tindakan itu perlu dilakukan sehingga mencapai matlamat lebih menyeluruh.
Kata beliau, Pati tidak boleh berada bebas dalam negara ini tanpa permit kerja sah, kerana kehadiran mereka menyumbang kepada statistik isu sosial dan jenayah.
“Selain Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), agensi lain juga mesti digerakkan sepenuhnya bagi memerangi Pati yang masuk ke negara ini secara haram.
“Usaha proaktif membanteras Pati juga dapat membongkar kepincangan dalam kalangan penguatkuasa sebagaimana kes yang berjaya didedahkan di selatan tanah air baru-baru ini.
“Tahniah atas ketegasan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay kerana membongkar isu persubahatan pegawai pasukan keselamatan dengan Pati,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Kamaruzaman, selain faktor sempadan terbuka negara yang luas, integriti penguatkuasa juga faktor penting kepada kedaulatan negara.
Beliau berharap, kerajaan, polis dan semua agensi berkaitan mengambil tindakan sewajarnya supaya barah Pati dapat dihapuskan sepenuhnya demi menjaga kedaulatan negara.
“Pandemik Pati lebih bahaya dari Covid-19 kerana bukan sahaja boleh membunuh, bahkan boleh meruntuhkan negara,” katanya. – MalaysiaGazette