Calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli menunjukkan laporan polis dan fitnah siber selepas membuat laporan mengenai tuduhan fitnah sempena kempen Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Balai Polis Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2020.

CHINI – Calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Shukri Mohd Ramli hari ini terkejut dengan fitnah yang mengaitkan dirinya dengan  PKR.

Bertindak daripada itu, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Chini untuk siasatan lanjut.

“Saya mengesyaki fitnah ini adalah untuk pengundi keliru di mana menyangka saya jadi calon bebas yang ditaja oleh PKR.

“Ini akan membuatkan saya dibuang oleh pengundi sedangkan saya bukan ditaja oleh mana-mana pihak.

“Saya ada bukti yang saya sudah dibuang oleh PKR dan dipecat. Pengundi boleh semak bahawa saya bukan ahli PKR dan tidak ada kena-mengena dengan PKR,” katanya setelah selesai membuat laporan polis jam 1.17 petang tadi.

Tuduhan fitnah siber antara tiga calon sempena kempen Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Balai Polis Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2020.

Menurut Mohd Shukri, beliau diberikan satu poster yang memaparkan wajahnya di atas logo PKR yang tidak meletakan calonnya pada PRK kali ini.

Gambar calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain diletakkan logo parti UMNO sedangkan beliau menggunakan logo BN sebagai lambang parti.

Kejadian sama turut berlaku kepada seorang lagi calon bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin yang dikaitkan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Laporan polis itu dibuat kerana beliau bimbang fitnah itu akan menjejaskan bilangan undi yang akan diterima oleh beliau pada 4 Julai depan.

Tidak terhenti di situ, Mohd Shukri juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai calon PRK Chini.

“Saya minta pihak polis menyiasat perkara ini dan kita akan buat aduan kepada PKR.

“Saya berkempen secara sihat dan matang mengikut SOP yang dibenarkan. Saya tidak pernah sentuh langsung tubuh badan mana-mana individu termasuk calon Bebas yang satu lagi dan calon BN.

“Saya merasakan ini tindakan biadap dalam kempen PRK. Mengapa perlu ada fitnah sebegini. Saya bukan calon mana-mana parti,” soal beliau.

Dalam pada itu, Mohd Shukri memberikan 48 jam kepada individu bertanggungjawab untuk menarik balik fitnah berkenaan sebelum  tindakan undang-undang dibuat oleh pihak beliau. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Lainkali jadilah cerdik dan pintar. Seharusnya tunjuklah Surat “dibuang” oleh PKR bukan menyusahkan rakyat Chini untuk semakmenyemak sebabnya banyak maklumat diperlukan contohnya no ic Dan bagailagi yang terbaik anda tunjukkan bukan menyusahkan jika begini mentality anda seharusnya pengundi hukum anda hingga hilang Wang pertaruhan.

Comments are closed.