Reaksi sedih seorang warga emas, Jabariah Embong, 71 (tengah) bersama suaminya, Muhammad Jaafar, 74 (kanan) selepas calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain (kiri) menziarahi pada Program Ziarah Warga Emas semasa sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Felda Chini 5, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2020.

CHINI – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Mohd Sharim Md Zain menyeru kepada mana-mana pengundi agar terus menyuarakan masalah kepada beliau bersempena kempen pilihan raya yang berlangsung sekarang.

Menurut Mohd Sharim, segala masalah yang diluahkan kepadanya akan beliau dengar dan diambil perhatian sewajarnya.

“Selaku orang muda saya meletakkan diri saya begini, orang yang lebih berusia harus disantuni dan yang muda disayangi.

“Kita akan cuba mendengar keluh-kesah masyarakat semua lapisan dan saya ambil sebagai KPI saya untuk buat kerja sebagai wakil rakyat di masa akan datang,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke rumah pasangan warga emas, Muhammad Jaafar dan Jabariah Embong, di Felda Chini 5 hari ini.

Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain bercakap kepada media pada Program Ziarah Warga Emas semasa sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Felda Chini 5, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 22 JUN 2020.

Jelasnya, ia sebagai panduan jika beliau diangkat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini yang baharu kelak.

Ini hari ketiga Mohd Sharim turun padang dalam siri kempen PRK Chini yang akan berakhir 4 Julai depan.

Dalam pada itu, Mohd Sharim berkata, pengundi tidak mempunyai pilihan lain selain Barisan Nasional (BN) yang menjadi satu-satunya parti yang meletakkan calon dalam PRK kali ini.

Justeru itu tambah beliau, BN dilihat mampu untuk meneruskan khidmat cemerlang kepada kira-kira 20,990 pengundi Chini.

“Pengundi perlukan kepercayaan kepada parti yang betul-betul boleh membela nasib rakyat di DUN Chini,” ujarnya.

PRK DUN Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Sharim dengan dua lagi calon bebas iaitu Mohd Shukri Mohd Ramli dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin.

Kerusi DUN Chini kosong setelah penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia pada 7 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung. – MalaysiaGazette