KUALA LUMPUR – Pelaksanaan penjarakan sosial di pintu pelepasan sebelum memasuki pesawat dalam terminal lapangan terbang dikecualikan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Keputusan itu diputuskan oleh Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang diadakan pada 18 Jun lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kelonggaran itu dibenarkan bagi penumpang yang sudah melepasi pemeriksaan keselamatan dan sedang beratur di pintu pelepasan.
Selain itu, katanya, pengunjung selain daripada penumpang termasuk meeters dan greeters, dibenarkan untuk memasuki bangunan terminal di lapangan terbang bagi tujuan bertujuan membantu penumpang terutama warga emas dan orang kelainan upaya yang memerlukan bantuan.
”Orang ramai masih perlu mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan seperti pemeriksaan kesihatan, suhu badan dan menggunakan pelitup muka serta cecair pembasmi kuman ketika berada di terminal lapangan terbang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Berhubung isu tambang pula, Ka Siong berkata, syarikat-syarikat penerbangan memaklumkanharga tiket penerbangan ditentukan menggunakan kaedah dinamik yang mengambil kira kadar penawaran dan permintaan yang didorong oleh pasaran.
Menurutnya, syarikat-syarikat penerbangan negara akan menetapkan kadar tambang penerbangannya dengan mengambil kira permintaan pasaran, keadaan ekonomi serta faktor-faktor lain seperti harga bahan api dan kos operasi.
Syarikat penerbangan juga perlu memastikan terdapat permintaan yang berterusan dan stabil sebelum harga tambang dapat kembali ke tahap normal seperti sebelum wabak Covid-19.
Tambah beliau, tambang penerbangan juga mengambil kira waktu tiket tersebut dibeli, sekiranya tiket yang dibeli terlalu hampir dengan tarikh penerbangan, maka harga tambang akan menjadi lebih tinggi berbanding pembelian awal.
Oleh itu, orang ramai disaran untuk membuat perancangan dengan membeli tiket penerbangan lebih awal bagi mendapatkan tawaran harga tiket yang lebih murah berbanding pembelian di saat akhir.
Meskipun begitu, kerajaan mengingatkan syarikat penerbangan untuk sentiasa menetapkan kadar tambang penerbangan munasabah serta tidak membebankan rakyat terutama semasa tempoh pemulihan akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette