Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A. Vigneswaran memberi ucapan pada hari terakhirnya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara sempena Upacara Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 JUN 2020.

Tan Sri SA Vigneswaran yang tamat tempoh menjawat jawatan Yang Dipertua Dewan Negara hari ini disifatkan sebagai sebagai seorang pelopor legislatif yang berjaya.

 

Sejak menyandang jawatan itu pada 26 April 2016 selepas dilantik sebagai Senator pada 23 Jun 2014, beliau boleh dijadikan pengukur tugasan legislatif yang berguna.

 

Pertama, Vigneswaran, 54,  telah mengemukakan beberapa langkah transformasi antaranya ke arah mewujudkan semula perkhidmatan Parlimen yang bebas.

 

Di bawah kendaliannya, Dewan Negara tidak menjadi Pak Turut  kepada keputusan yang dibuat oleh Dewan Rakyat yang mana beliau merupakan Speaker yang tidak memihak kepada sesiapa.

 

Ia terbukti apabila ada akta yang tidak diluluskan. Walaupun pengkritiknya menganggap keputusan yang dibuat itu sesuai untuk demokrasi tetapi tidak semestinya ia baik untuk reformasi institusi, Vigneswaran tetap dengan pendiriannya.

 

Misalnya pada September 2018, usaha kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti-Berita Tidak Benar 2018 gagal apabila usul itu ditolak oleh ahli Dewan Negara selepas bacaan kali kedua di Parlimen.

 

Vigneswaran mengumumkan keputusan penolakan pemansuhan RUU itu yang dibuat melalui undi belah bahagian oleh ahli-ahli Dewan Negara yang mana 28 Senator daripada Barisan Nasional (BN) dan Pas, yang merupakan pembangkang ketika itu, mengundi menolaknya dengan 21 Senator PH menyokong manakala tiga lagi berkecuali.

 

Pada 16 Ogos tahun yang sama, Dewan Rakyat telah mengundi untuk memansuhkan RUU Anti-Berita Tidak Benar yang diluluskan oleh pentadbiran BN dengan cara tergesa-gesa.

Prinsip yang dipegang oleh Vigneswaran seharusnya dimiliki oleh sesiapa yang mempunyai kredibiliti. Penghakiman yang bebas, begitu juga dengan  perjawatan serta perkhidmatan dalam konsep pengasingan kuasa. Eksekutif ada haknya. Demikian jugalah dengan hak-hak legislatif dan kehakiman. 

 

Begitupun Parlimen masih tertakluk pada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Misalnya tertaktuk pada khidmat awam yang biasa. Dahulu ada akta perkhidmatan parlimen tetapi sudah dimansuhkan. 

 

Justeru, usaha Vigneswaran untuk mewujudkannya semula harus didukung oleh Speaker atau Yang Dipertua Dewan Rakyat yang akan datang atau rakan-rakannya yang telah menjurus ke arah itu. 

 

Ini akan memberi gambaran pengasingan kuasa yang lebih jelas dan akan dihormati oleh sistem pentadbiran Parlimen, kehakiman dan eksekutif.

 

Pada hari ini menerusi amanat terakhirnya, Vigneswaran terus berpegang kepada pendiriannya.

 

Presiden MIC itu menyeru kerajaan menarik balik pindaan kontroversi 1993 berkaitan kuasa Raja-Raja Melayu kerana berpendapat ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. 

 

Tegas beliau, pindaan yang dibuat tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja telah mengurangkan kuasa Raja Melayu serta kedaulatan Institusi Diraja harus dikembalikan seperti pada zaman kemerdekaan.

 

I stand corrected. Dalam banyak perkara penting, kuasa Raja-Raja Melayu sangat jelas diperlukan bagi menjamin kestabilan politik dan masa depan masyarakat majmuk di negara ini,” kata beliau.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A. Vigneswaran melancarkan buku “Prevailing Democracy in Malaysian Parliament” pada Majlis Tamat Tempoh Yang Dipertua Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 JUN 2020.

 

Vigneswaran berkata, sistem Raja Berperlembagaan, institusi Raja di Malaysia masih ada peranan penting dalam beberapa urusan atau pentadbiran negara seperti dimaktubkan Perlembagaan. 

 

“Apabila krisis politik timbul di akhir bulan Februari 2020, kita telah menyaksikan peranan penting yang dimainkan oleh Yang di-Pertuan Agong. Ia telah menunjukkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja ialah tiang seri yang amat mustahak di negara ini. 

 

“Mereka adalah harapan dan lambang perpaduan kerana bukan dipilih secara politik dan terkecuali daripada sebarang anasir politik.

Inilah antara sebab yang membolehkan Institusi Diraja berpotensi memainkan peranan tanpa mengenakan syarat berbanding parti politik yang setiap keputusannya, terikat dengan sentimen dan pertimbangan kepartian,” kata beliau.

 

Peristiwa yang disebut oleh Vigneswaran itu kini dikenang sebagai ‘Krisis Perlembagaan 1993’ berpunca daripada tindakan kerajaan ketika itu yang diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memansuhkan kekebalan Raja-raja Melayu.

 

Ia seperti disebut dalam Perkara 181(2): “Tiada apa-apa perbicaraan boleh dibawa dalam mana-mana mahkamah terhadap Raja bagi sesuatu negeri atas sifatnya sendiri”.

 

Kerajaan semasa itu meminda Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan yang menyebabkan setiap RUU tetap diwartakan sebagai undang-undang selepas 30 hari dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong, walaupun tanpa perkenan baginda.

 

Di bawah seliaannya sepanjang empat tahun, Vigneswaran telah membuktikan bahawa Dewan Negara adalah badan yang lebih tinggi daripada Dewan Rakyat.

 

Ia dinamakan upper house justeru terjemahan kepada upper house itu hendaklah nampak oleh rakyat.  

 

Dengan itu rakyat boleh mengadu dalam situasi melahirkan perasaan dan sekiranya sesuatu  undang-undang atau perkara dibawa ke Dewan Negara, maka Dewan itu mempunyai ‘regional jurisdiction’. 

 

Cuma, sekarang ini ia tidak berlaku. Malah, tidak ada akta yang terbit dari Dewan Negara, padahal boleh dilaksanakan.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S.A. Vigneswaran (kiri) bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof (dua kanan) membaca buku “Prevailing Democracy in Malaysian Parliament” selepas merasmikannya pada Majlis Tamat Tempoh Yang Dipertua Dewan Negara di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 22 JUN 2020.

Selepas menamatkan khidmat Speaker Dewan Negara, kini terserah kepada budi bicara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meletakkan Vigneswaran dalam perkhidmatan atau jawatan tertentu.

 

Suka atau tidak, Vigneswaran adalah antara  pemikir dalam kalangan rakyat Malaysia yang tinggi profilnya dan sebagai pemimpin MIC dengan sumbangan substantif. – MalaysiaGazette