Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang menjalankan kerja menyelamat lima pendaki yang sesat di Bukit Tabur, Melawati, Selangor. foto ihsan RESCUE BENCANA MALAYSIA, 23 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Kedegilan empat individu termasuk tiga wanita yang dipandu seorang pendaki berpengalaman yang mengingkari  larangan Jabatan Perhutanan dengan mendaki Bukit Tabur berakhir mereka sesat.

Kesemua lima pendaki itu memulakan pendakian kira-kira jam 9 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Timbalan Penguasa Bomba II Deputi Superintendan Ariff Mohamed Kassim berkata, kelima-lima mangsa yang berusia antara 21 hingga 23 tahun menghubungi talian kecemasan 999 dan meminta bantuan bomba untuk menyelamatkan mereka.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan pada jam 1.44 tengahari dan seramai 12 anggota bomba bergegas dengan sebuah van dan jentera bomba ke kaki Bukit Tabur.

Anggota bomba mengiringi pendaki yang berjaya diselamatkan setelah sesat hampir beberapa jam di Bukit Tabur, Melawati, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 23 JUN 2020.

Ujar beliau, anggotanya dapat menghubungi pemanggil yang menghubungi talian kecemasan 999 melaporkan mereka sesat di puncak bukit berkenaan.

“Tanpa membuang masa kami telah arahkan tujuh anggota bomba naik ke atas untuk menjejaki mereka berlima, tetapi salah seorang pendaki lelaki berpengalaman naik ke bukit ini berjaya jumpa jalan dan turun ke bawah.

“Manakala empat lagi termasuk tiga wanita yang mana salah seorangnya merupakan pelajar kolej SEGi berjaya ditemui pada jam 4.08 petang iaitu dua jam kemudian dalam keadaan sihat dan selamat tanpa kecederaan fizikal dan kelihatan penat.

“Mereka semua menaiki bukit mengikut laluan Klang Gate, Setapak yang sememangnya sudah dilarang dan disita dengan papan tanda larangan mendaki ke puncak.Kami jumpa mereka di puncak 12,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di kaki bukit itu.

Kesemua mereka berehat seketika di khemah sementara yang didirikan bomba di kaki bukit tersebut namun enggan ditemubual MalaysiaGazette mengenai insiden itu.

Tambah beliau, ia merupakan kejadian keempat pada tahun ini yang mana pada awal tahun ini kejadian seumpama itu menyebabkan kematian dua pendaki.

Lima pendaki yang sesat kelihatan letih selepas berjaya diselamatkan anggota bomba di Bukit Tabur, Melawati, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 23 JUN 2020.

Menurut Ariff, beliau kesal dengan sikap orang ramai yang tidak mahu mengendahkan arahan larangan mendaki di Bukit Tabur.

“Bukit ini sebenarnya telah diwartakan oleh Jabatan Perhutanan tidak boleh didaki serta dilarang untuk akiviti pendakian kepada awam sejak 2017 selepas beberapa insiden kematian lebih kerap dilaporkan.

“Kalau kita lihat setiap pintu laluan ke bukit berkenaan sudah ditampal notis Jabatan Perhutanan mengenai larangan pendakian disertai pita dan palang larangan selain notis denda antara RM5,000 hingga RM10,000 kepada mereka yang ingkar larangan.

“Mereka memang degil, sebab sebenarnya mereka tahu dilarang dan melihat palang dan notis larangan tetapi degil juga untuk mendaki di Bukit Tabur.

“Tadi kami tanya mangsa-mangsa berkenaan tahu tak bukit ini dilarang untuk pendakian awam, dia mengangguk tahu larangan itu, tetapi apabila ditanya kenapa masih degil dan panjat pagi tadi, dia angguk kepala sebab bersalah.

“Kami cuma berharap supaya orang awam jangan degil dan mendengar nasihat kami serta jangan mendaki bukit ini lagi. Tindakan selebihnya bergantung kepada Jabatan Perhutanan dan penguatkuasaan mereka selepas ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast