KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Ipoh, Mohd Bakri Mustapha kecewa dan kesal dengan tindakan seorang pemimpin UMNO Bahagian Tanah Merah yang sengaja meviralkan gambar beliau bersama Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Menurut ADUN Barisan Nasional (BN) dalam Parlimen Tanah Merah itu, gambar berkenaan dirakamkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ketika beliau menerima jemputan daripada Mukhriz.
Katanya, selain beliau, dua rakannya yang dikenali sebagai ustaz Baharudin dan Ahmad Ismail turut dijemput ketika itu.
“Jemputan itu dibuat oleh seorang kawan di Tanah Merah melalui ustaz Baharudin. Kalau tidak ada jemputan, mana mungkin saya boleh jumpa Mukhriz.
“Lagipun, tujuan asal jemputan itu bertujuan (Mukhriz) berjanji akan memberi bantuan kepada pembangunan dalam DUN saya di Gual Ipoh,” katanya dipetik kenyataan daripada akaun Facebooknya, hari ini.
Pada Julai 2018, media melaporkan khabar angin Mohd Bakri yang merupakan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau kemudian menafikan khabar angin itu dan menyifatkan sengaja ditimbulkan oleh pihak yang cuba merosakkan nama dan reputasinya.
Namun, menurut Mohd Bakri, dalam perjumpaan itu beliau diberikan tawaran bersyarat oleh Mukhriz yang ketika itu Timbalan Presiden Bersatu.
“Syaratnya, sekiranya saya tinggalkan UMNO dan sertai Bersatu, maka pembangunan di kawasan DUN Gual Ipoh akan diberi perhatian sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang PRU14 dan membentuk kerajaan,” katanya.
Menurutnya, gambar itu diambil oleh Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Sazmi Miah yang ikut serta dalam perjumpaan berkenaan.
“Mungkin kerana saya tolak tawaran Mukhriz itu, timbul rasa tidak puas hati mereka, maka gambar ini disebar.
“Saya tidak pernah menyatakan untuk menyertai Bersatu dan tinggalkan UMNO. Sampai hari ini saya (masih) kekal dan pertahankan UMNO,” katanya.
Beliau menjelaskan, apa yang berlaku hari ini, ada dalam kalangan pemimpin UMNO di bahagian itu cuba memprovokasikan beliau, termasuk menyiarkan semula gambar lama di media sosial dengan niat memburukkannya. – MalaysiaGazette