KUALA LUMPUR – Pelbagai dakwaan dilemparkan kepada agensi agama terutama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berhubung sikap tidak proaktif pegawai dalam menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf.
Bagaimanapun, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana agensi agama sentiasa menjalankan tugas dan amanah membantu mereka yang memerlukan.
Terbaharu kata beliau, MAIWP mewujudkan Mobile Aplikasi Jejak Asnaf (MOJA) untuk menjejak asnaf, selain menubuhkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal yang sentiasa turun padang mencari dan menjejaki mereka yang tercicir dari menerima bantuan zakat.
“Hari ini, satu lagi sejarah tercipta apabila MAIWP memanfaatkan teknologi semasa dengan membangunkan sistem aplikasi pelaporan dan penjejakan asnaf menerusi MOJA.
“Melalui aplikasi ini, orang awam akan lebih mudah untuk melaporkan kepada Skuad Jejak Asnaf Baitulmal mengenai asnaf dan mereka yang memerlukan pada bila-bila masa dan di mana sahaja.
“Aplikasi ini dilengkapi dengan ciri-ciri pengesanan lokasi GPS bagi memudahkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal turun padang terus ke lokasi yang dilaporkan. Pengadu juga boleh mengambil gambar dan memuatnaik menerusi aplikasi ini bagi memudahkan rujukan skuad,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan aktiviti dakwah dan kebajikan dan pelancaran MOJA di Bangunan Perkim di sini, hari ini.
Dr. Zulkifli menyeru menyeru orang ramai di Wilayah Persekutuan memuatturun aplikasi itu di Google Play Store dan Apple Apps Store untuk sama-sama membantu menyalurkan maklumat mengenai mereka yang dalam kesusahan agar dapat disantuni semaksimum mungkin oleh MAIWP.
Katanya, Skuad Jejak Asnaf Baitumal MAIWP telah ditubuhkan pada tahun 2012 yang berperanan menjejaki serta mencari mereka yang memerlukan bantuan di Wilayah Persekutuan.
Beliau turut menjelaskan, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh MAIWP dalam memudahkan lagi proses agihan dan penyaluran bantuan zakat, yang mana sebelum ini, boring permohonan setebal lapan halaman, kini hanya dua halaman.
“Sekiranya dahulu tempoh kelulusan bantuan mengambil masa 14 hari untuk bantuan bukan kecemasan, kini dipercepatkan kepada lima hari.
“Kita juga menambah kaunter agihan zakat menerusi pembukaan Pusat-pusat Agihan Zakat (PAZA) di seluruh Wilayah Persekutuan yang memudahkan lagi asnaf berurusan dengan MAIWP,” katanya.
Kata Dr. Zulkifli, Kaunter Bergerak Baitumal MAIWP juga diwujudkan dan bergerak ke lokasi yang menjadi tumpuan ramai seperti tapak pasar malam, masjid, kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan banyak lagi bagi memudahkan permohonan bantuan zakat dibuat.
Selain aplikasi MOJA, orang ramai boleh membantu MAIWP menyalurkan maklumat mengenai asnaf di kawasan masing-masing kepada Skuad Jejak Asnaf Baitulmal menerusi talian bebas tol 1800885222, talian hotline 012-5127614 dan 012-5183614. – MalaysiaGazette