Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Bayaran Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada 181,000 rayuan yang berjaya akan dibuat mulai esok.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, antara 12 hingga 19 Jun lalu sebanyak RM40 juta telah dibayar kepada 40,000 penerima BPN melalui bayaran secara tunai di cawangan-cawangan Bank Simpanan Nasional di seluruh negara.

Sehingga 19 Jun lalu, seramai 10.19 juta penerima BPN telah menerima bantuan ini, yang membawa keseluruhan bayaran BPN ke RM10.88 bilion, iaitu 97% tahap pelaksanaan.

BPN diagihkan kepada empat kategori isi rumah iaitu B40 RM4,000 ke bawah yang menerima bantuan sebanyak RM1,600, B40 bujang RM2,000 ke bawah (RM800), M40 isi rumah RM4,001 hingga RM8,000 (RM1,000) dan M40 bujang RM2,001 hingga RM4,000 (RM500).

Bagi program i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja pula, sehingga 19 Jun, sebanyak 4.3 juta permohonan telah diluluskan melibatkan RM2 bilion sebulan.

Beliau berkata demikian ketika memberi perkembangan terkini Laporan Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di sini hari ini.

Untuk Geran Khas Prihatin (GKP) PKS Mikro, bayaran sebanyak RM3,000 setiap perniagaan mikro telah dilakukan bermula sejak 15 Jun lalu.

Manakala bagi PKS Mikro yang telah lulus selepas disemak lanjut, pembayaran akan dibuat mulai 29 Jun ini, katanya.

Jumlah keseluruhan GKP yang dibayar adalah bernilai lebih kurang RM1.57 bilion dan ia akan memanfaatkan sebanyak 524,446 PKS Mikro.

”Kerajaan berharap geran ini sedikit sebanyak akan dapat membantu PKS Mikro dalam menjana semula perniagaan masing-masing,” ujarnya. – MalaysiaGazette