KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menghubung lima platform tambahan daripada enam Institusi Pengurusan Dana (IPD) kepada i-Invest, iaitu kemudahan layan diri yang ditawarkan oleh KWSP untuk ahli membuat pelaburan secara dalam talian.

Platform tambahan tersebut adalah  Affin Hwang Asset Management Berhad, Kenanga Investors Berhad, RHB Asset Management Sdn Bhd (berkongsi platform dengan RHB Islamic International Management Berhad), Hong Leong Asset Management Bhd dan TA Investment Management Berhad.

Penambahan platform ini akan meningkatkan lagi fleksibiliti kepada ahli KWSP untuk melaksanakan transaksi dalam talian di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA), selaras dengan objektif utama i-Invest.

KWSP berkata, setakat 30 April lalu, i-Invest telah merekodkan lebih daripada 25,000 transaksi dengan nilai
keseluruhan sebanyak RM219.3 juta.

Penambahan ini telah meningkatkan jumlah platform IPD di bawah i-Invest kepada 10 platform.

Platform IPD yang sedia ada semasa pelancaran i-Invest sebelum ini adalah daripada Amanah Saham Nasional Bhd, Eastspring Investments Bhd, Manulife Investment Management Bhd, Principal Asset Management Bhd dan Public Mutual Bhd.

Manakala IPD yang tidak mempunyai platform sendiri akan menjalankan transaksi pelaburan di dalam i-Invest melalui
dua Penasihat Institusi Unit Amanah (IUTA) yang dilantik, iaitu iFAST Capital Sdn Bhd dan Phillip Mutual Berhad.

KWSP sebelum ini telah mengumumkan bermula 1 Mei lalu, ahli yang membuat pelaburan melalui i-Invest tidak akan dikenakan caj jualan permulaan oleh IPD untuk tempoh selama 12 bulan.

Inisiatif ini membolehkan ahli mempelbagaikan portfolio persaraan mereka pada kos yang lebih rendah.

i-Invest yang dilancarkan pada Ogos 2019 adalah platform digital yang menawarkan fleksibiliti, fungsi dan menyediakan kemudahan untuk ahli membuat pelaburan dan transaksi serta memantau pelaburan unit amanah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Pelaburan i-Invest juga membolehkan ahli membuat perbandingan antara dana unit amanah yang ditawarkan oleh IPD, melihat kesemua pegangan pelaburan mereka dan mendapatkan maklumat berkaitan kos pelaburan, prestasi dana serta sebarang maklumat berkenaan dengan IPD tersebut.

KWSP mengawal selia IPD berdasarkan garis panduan SPA KWSP yang telah dikeluarkan bagi memelihara integriti SPA dan kepentingan ahli yang menyertai skim ini serta memastikan IPD menjalankan tanggungjawab mereka secara beretika dan cekap. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast