KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan menganjurkan seminar tahunan, Seminar Pemindahan Teknologi MPOB secara dalam talian (Webinar TOT 2020), pada 7 Julai ini.
Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, Webinar TOT 2020 bertujuan untuk menghebahkan hasil penyelidikan terkini MPOB.
Webinar ini akan memperkenalkan peluang perniagaan berasaskan pengkomersialan teknologi dalam industri sawit.
“Penganjuran TOT 2020 menyedia peluang perniagaan kepada syarikat tempatan dan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ahli pertanian, golongan profesional dalam bidang kejuruteraan, saintis, penyelidik, ahli teknologi makanan, ahli kimia, pengilang dan pengeluar serta pihak yang terlibat dengan industri sawit,” kata Ahmad Parveez.
Peserta Webinar TOT 2020 ini akan dapat meningkatkan pengetahuan mengenai perkembangan industri dan inovasi sawit untuk pengkomersialan.
Oleh itu, webinar ini akan memanfaatkan peluang perniagaan kepada usahawan IKS melalui pengkomersialan teknologi yang ditawarkan oleh MPOB.
Tambahnya, dalam usaha pemindahan teknologi kepada penggiat industri, penglibatan syarikat Malaysia termasuk PKS dalam pengkomersialan teknologi yang dibangunkan oleh MPOB akan memacu perkembangan industri sawit dan pertumbuhan ekonomi negara. – MalaysiaGazette