Bagi warganegara asing yang pas lawatan sosial tamat semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) boleh terus menaiki penerbangan pulang ke negara masing-masing dalam tempoh 14 hari dari tarikh PKPP tamat.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR- Warganegara asing yang pas lawatan sosialnya telah tamat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh mendapatkan lanjutan pas lawatan di Jabatan Imigresen Malaysia.

Bagi warganegara asing yang pas lawatan sosial tamat semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) boleh terus menaiki penerbangan pulang ke negara masing-masing dalam tempoh 14 hari dari tarikh PKPP tamat.

Perkara tersebut diputuskan oleh Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP hari ini,

“Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP mengambil maklum isu pas lawatan sosial yang telah tamat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Yaakob dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan media yang sama, beliau turut memberi penjelasan berhubung aktiviti riadah di kolam renang awam, hotel, kondominium, komuniti berpagar atau persendirian pada 22 Jun ini.

Katanya pemantauan serta penguatkuasaan pematuhan SOP akan dilakukan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta pihak berkuasa tempatan.

“Operator atau pemilik kolam renang perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan kolam renang dengan MITI di laman web NOTIFICATION.MITI.GOV.MY bagi tujuan pematuhan kepada SOP,” tegas Ismail Sabri.

Dalam pada itu, PDRM telah menahan 15 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP, semalam.

Daripada jumlah itu, tiga individu telah direman dan 12 lagi dikenakan kompaun.

Antara kesalahan yang telah dilakukan adalah aktiviti refleksologi atau urut (lima orang) dan aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (10 orang).- MalaysiaGazette