Sate tuna yang merupada produk yang dipromosikan pada Program Promosi Produk Tuna kepada Petugas Barisan Hadapan Yang Menangani Penyakit Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 JUN 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menerusi Jabatan Pertanian dalam usaha membangunkan hub-tuna di negara ini dengan menyediakan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2020-2030.

Menurut Timbalan Menteri, Datuk Seri Ahmad Hamzah, pelan itu merangkumi 10 strategi dan inisiatif pembangunan dan pengurusan indsutri tuna negara dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Beliau berkata, pendaratan tuna di negara ini melibatkan tiga pangkalan iaitu di Pulau Pinang, Langkawi dan di Sabah keseluruhannya sebanyak 101,627.32 tan metrik dengan nilaian kira-kira RM900 juta pada tahun 2019.

Katanya, tangkapan itu melibatkan tuna neritik di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan tuna oseanik yang ditangkap di perairan Lautan Hindi.

“Terdapat empat spesies tuna oseanik utama yang ditangkap oleh nelayan kita di Lautan Hindi menggunakan vessel atau bot laut dalam peralatan rawai, iaitu Yellowfin Tuna, Bigeye Tuna, Albacore dan Skipjack.

“Ikan tuna neritik pula ditangkap di perairan negara untuk spesies Longtail Tuna, Frigate Tuna, Bullet Tuna dan Kawakawa, iaitu aya hitam, aya kurik, aya peluru dan aya putih, yang ditangkap menggunakan pukat jerut,” katanya.

Datuk Seri Ahmad Hamzah (kanan) menyerahkan sate tuna kepada Pengarah Pusat Kuarintin dan Rawatan Covid Berisiko Rendah, Dr. Mohd Anuar Sahmad @ Mahmood (kiri) pada Program Promosi Produk Tuna kepada Petugas Barisan Hadapan Yang Menangani Penyakit Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 JUN 2020.

Beliau berkata demikian pada program promosi produk tuna kepada petugas barisan hadapan yang menangani penyakit Covid-19 di MAEPS dekat sini, hari ini.

Jelas beliau, industri tuna di negara ini sedang berkembang dan membangun sebagai salah satu sumber kekayaan baharu negara dan Jabatan Perikanan komited memajukannya di Pulau Pinang.

Katanya, sehingga 2019, sebanyak 17 vessel penangkapan tuna dan satu kapal pengangkut tuna telah dilesenkan serta beroperasi di Lautan Hindi dengan hasil tangkapan sebanyak 2.7 juta tan metrik dengan nilaian RM35 juta.

Mengenai produk tuna, Ahmad berkata, sate tuna merupakan produk inovasi Jabatan Perikanan yang diperkenalkan pertama kali di MAHA 2016.

“Ini merupakan produk galakan promosi hasilan tuna yang diperkenalkan bagi mempelbagaikan variasi sate sedia ada di pasaran, di samping memberi kelainan dari segi rasa, nutrisi dan pilihan kepada pengguna.

“Sate tuna ini dihasilkan 100 peratus dari ikan tuna sirip kuning (yellow tuna) yang lazat dan kaya dengan khasiat Omega-13,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast