SHAH ALAM – Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan Dr Daroyah Alwi telah meletak jawatan sebagai Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor.
Beliau berkata, calon bagi menggantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa itu sedang diteliti, namun yang pasti ia menjadi milik Pakatan Harapan (PH).
“Penggantinya kita sedang cari dan bincang serta Pakatan Harapan akan buat keputusan secara konsensus yang menjadi tradisi kita demi kestabilan politik selepas PH mendapat mandat rakyat sejak 2008.
“Sudah pasti calonnya dari PH,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Web Portal SELDEC dan Sistem Aplikasi SELDEC Rider di sini hari ini.
Amirudin turut memberi jaminan tindakan Daroyah bersama penyokongnya itu adalah yang terakhir dalam kalangan ahli PKR.
“Kalau sudah keluar, keluarlah. Parti sudah buang mereka dan di Selangor lebih 100 ahli diambil tindakan disiplin dan ada yang rela keluar atas kesalahan mereka.
“Sekarang adalah masa untuk bergerak ke hadapan. Jangan dikenang yang sudah pergi, yang patah akan berganti,” katanya.
Pada 13 Jun lalu, Dr Daroyah yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR mengumumkan langkahnya keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, statusnya dalam DUN Selangor kini adalah sebagai ADUN bebas yang mesra Perikatan Nasional (PN).
Dr Daroyah juga mendakwa tidak bersendirian dalam langkahnya meninggalkan parti berkenaan, malah 35 pemimpin PKR di peringkat pusat, negeri dan cabang, turut mengikuti langkahnya. – MalaysiaGazette