Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu tiga lagi lelaki Cina tempatan kerana disyaki terlibat kes jenayah memukul, mencederakan dan merogol seorang wanita warga Nigeria dalam kejadian 4 Jun lalu.

Ketiga-tiga mereka dikehendaki selepas polis menahan seorang lelaki bagi kes yang sama.

Turut ditahan adalah seorang wanita warga Thailand yang dipercayai bersubahat dalam kejadian tersebut manakala wanita Nigeria itu yang menjadi mangsa kejadian kini ditahan di Penjara Kajang sejak semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim mengesahkan pihaknya menerima satu laporan polis pada 4 Jun lalu berhubung kejadian seorang wanita Nigeria yang dipukul oleh beberapa orang lelaki berbangsa Cina.

Katanya, laporan polis telah dibuat oleh pengadu seorang wanita Nigeria berkenaan yang berusia 30 tahun dan bekerja sebagai penjual rambut palsu.

“Hasil siasatan awal polis mendapati, pada tarikh yang sama jam lebih kurang 10.00 pagi, pengadu (wanita Nigeria) telah pergi ke rumah teman lelakinya yang baru dikenalinya di kawasan Cheras.

“Sewaktu berada di rumah tersebut, pengadu (wanita Nigeria) itu telah dipukul serta dicederakan oleh teman lelaki dan rakan-rakannya.

“Bertindak atas maklumat awal itu, polis telah membuat tangkapan ke atas tiga orang lelaki berbangsa Cina dan seorang wanita warganegara Thailand berusia dalam lingkungan 28 hingga 44 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian ini.

“Ketiga-tiga lelaki Cina tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana telah mencederakan pengadu dan direman lima hari dari 5 hingga 9 Jun lalu sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada 9 Jun lalu setelah permohonan menyambung reman ke atas mereka ditolak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, wanita warganegara Thailand itu pula ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang lengkap dan direman selama 14 hari bermula pada 5 hingga 18 Jun lalu.

Sementara itu katanya, mangsa wanita Nigeria telah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan dan telah ditahan di wad selama tiga hari pada dari 4 hingga 6 Jun lepas.

Justeru katanya, pada 9 Jun lalu jam lebih kurang 7.50 malam, setelah selesai memberi keterangan berkaitan kes pukul, pengadu (wanita Nigeria) juga telah membuat satu lagi laporan polis mengenai kejadian rogol yang menimpa dirinya pada hari yang sama dipukul tiga suspek lelaki tempatan itu.

“Pada awalnya, pengadu (wanita Nigeria) tidak mahu memanjangkan kes rogol dan enggan membuat pemeriksaan di hospital tetapi membuat laporan polis kedua tersebut setelah ditahan di wad selama tiga hari dan dinasihatkan oleh pihak polis.

“Pada 20 Jun lalu jam 1.30 tengahari, bertindak atas laporan kedua mangsa Nigeria itu pihak polis telah membuat tangkapan semula ke atas seorang lelaki berbangsa Cina yang berusia 44 tahun di IPK Kuala Lumpur dan direman selama enam hari bermula pada 21 hingga 26 Jun ini.

“Kini polis juga sedang giat mengesan tiga lagi suspek lelaki yang masih bebas untuk siasatan lanjut berkaitan kes ini yang kini disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

“Manakala pengadu (wanita Nigeria) pula  telah direman 14 hari sehingga 23 Jun lalu dan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah tetapi kini ditempatkan di Penjara Kajang sehingga kes rogol ini selesai,” ujarnya.

Sehubungan itu, Mazlan menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang tidak sahih serta sentiasa menyemak sebarang maklumat yang diperoleh.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi mana–mana Balai Polis berdekatan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast