Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Perincian berkaitan isu-isu membabitkan persekolahan akan diumumkan pada Jumaat ini selepas Menteri Pendidikan membuat pembentangan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berhubung Pelaksanaan PKP.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara yang bakal dibincangkan dalam mesyuarat tersebut adalah berhubung operasi pusat tuisyen swasta serta penggunaan surau di sekolah-sekolah.

“Dalam mesyuarat Jumaat ini, Menteri Pendidikan akan membuat pembentangan.

“Bukan sahaja tentang pusat tuisyen swasta tetapi juga mengenai penggunaan surau-surau di sekolah kerana sesi persekolahan telah pun bermula.

“Tunggu pengumuman Jumaat ini,” katanya ketika menjawab soalan pemberita semasa sidang medianya hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, tiada isu mengenai kru syarikat perkapalan bukan rakyat tempatan yang mahu bekerja di negara ini.

Katanya, berbeza dengan pekerja asing lain, kelasi kapal memiliki pas khas yang tidak dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia dan mereka hanya berada di dalam kapal sahaja.

“Selama ini kita tidak pernah sekat pun. Jadi, tiada isu,” katanya lagi.

Bagaimanapun, kerajaan masih belum membenarkan pembantu rumah asing untuk pulang bekerja di Malaysia buat masa sekarang, katanya.- MalaysiaGazette