Ahmad Jazlan Yaakub

KUALA LUMPUR –  Pusat Latihan Sawit Malaysia (PLASMA) mensasarkan pengambilan 400 pelajar setahun bagi mengikuti kursus-kursus dalam industri sawit yang menyediakan kemahiran untuk belia dan individu yang berminat.

PLASMA yang ditubuhkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menawarkan Kursus Operasi Mekanisasi Ladang (KOML) yang memberi peluang kepada golongan belia untuk menjadi tenaga kerja terlatih di ladang.

Sehingga April 2020, seramai 437,440 pekerja di sektor perladangan sawit di Malaysia dan daripada jumlah itu, 77 peratus atau 338,206 merupakan pekerja asing.

Dalam konteks ini, pembangunan modal insan bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam kalangan belia tempatan amat penting untuk berkhidmat di sektor perladangan sawit, kata Pengerusi MPOB, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

”Pihak MPOB amat komited dalam menyediakan tenaga kerja yang berpengetahuan dalam pengurusan ladang serta meningkatkan penggunaan jentera terutamanya untuk penuaian dan pengangkutan buah tandan segar (BTS) di ladang,” katanya.

PLASMA berfungsi sebagai Pusat Kecemerlangan untuk melatih terutamanya anak-anak pekebun serta masyarakat yang berminat dalam pengurusan ladang sawit bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam sektor perladangan.

Ini merupakan peluang untuk anak-anak pekebun yang mana akan merubah masa depan keluarga melalui kerjaya dalam bidang perladangan.

Sekiranya dahulu sebagai anak pekebun, selepas pengajian boleh berkhidmat sebagai penyelia atau pengurus kebun pada masa akan datang.

Malah, tidak mustahil pada 5 atau 10 tahun lagi akan menjadi pemilik ladang sekiranya mereka serius terhadap bidang perladangan sawit ini.

Industri sawit Malaysia merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor pertanian dengan sumbangan sebanyak 4.76 peratus pada tahun 2019 yang bernilai 64.84 bilion.

Oleh itu, golongan belia dan masyarakat yang berminat disaran untuk memanfaatkan peluang yang disediakan oleh Kerajaan Malaysia melalui PLASMA untuk mendapatkan latihan kemahiran dalam bidang perladangan yang dibiayai sepenuhnya yuran pengajian.

Menurut beliau, pelatih akan didedahkan dengan pengetahuan penggunaan jentera secara lebih meluas bagi meningkatkan kecekapan operasi sektor perladangan sawit serta meningkatkan pendapatan ladang.

Sehingga kini lebih 3,000 pelatih berjaya menamatkan latihan di Plasma di Keratong dan Lahad Datu dan lebih 70 peratus telah menceburi kerjaya di sektor perladangan terutamanya yang melibatkan pengendalian jentera.

Antara kursus-kursus yang disediakan adalah operasi mekanisasi bagi penyediaan tanah, pembangunan tapak semaian, penyelenggaraan ladang dan pembajaan, penuaian, pengangkutan dan pengumpulan buah tandan segar (BTS) serta penyelenggaraan rutin alatan mekanisasi seperti traktor, peralatan menuai dan sebagainya.

Syarat kemasukan pelatih ke PLASMA ialah mempunyai sijil SPM dan berumur 18 tahunke atas dan jangka masa kursus selama 6 bulan dengan kemudahan asrama, elaun dan makanan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan melalui peruntukan kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK)

Bagi mereka yang berminat, permohonan boleh dibuat secara atas talian 09-4514400 atau hadir ke pejabat PLASMA di Keratong atau Lahad Datu bagi sesi pengambilan bulan Oktober tahun 2020. – MalaysiaGazette