KUALA LUMPUR – Pas menyambut baik maklum balas kerajaan untuk meneruskan siasatan kes kematian anggota Bomba dan Penyelamat, Allahyarham Muhammad Adib Kassim dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman pada November 2018.
Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan itu sedikit sebanyak melegakan perasaan rakyat yang menanti perkembangan terkini kes tersebut.
Menurut Ketua Penerangan Pas Malaysia, Kamaruzaman Mohamad, sepanjang 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah, inkues terhadap Allahyarham Muhammad Adib menjadi perhatian kerana rakyat mengharapkan keputusan yang adil.
“Kita berpuas hati keputusan Koroner Mahkamah Shah Alam, Rofiah Mohamad pada 27 September 2019, yang memutuskan punca kematian adalah akibat perbuatan jenayah oleh individu yang tidak dikenali.
“Dengan itu, Pas yakin polis, Peguam Negara dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan mengambil tindakan seadilnya terhadap kes ini dengan mencari dan menghukum mereka terlibat sama ada pelaku yang membunuh beserta mereka yang berusaha menutup kes ini, jika ada,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Artikel berkaitan: Adib mati akibat dipukul, diserang pihak ketiga – Koroner Rofiah
Takiyuddin dalam kenyataannya di Kota Bharu Ahad lalu berkata, kes kematian Allahyarham Muhammad Adib masih diteruskan pihak berkuasa termasuk polis bagi mengesan pelaku yang terlibat dalam insiden itu.
Beliau berkata, kerajaan masih menunggu hasil siasatan selepas Mahkamah Koroner memutuskan kematian anggota Bomba itu disebabkan perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.
Artikel berkaitan: Setahun Muhammad Adib pergi, terbenamkah keadilan?
Pada 27 November 2018, Muhammad Adib yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember di Institut Jantung Negara (IJN).
Menurut Kamaruzaman, rakyat pasti akan memberikan kerjasama dalam mengangkat keadilan kematian seorang wira negara. – MalaysiaGazette
Kes jenayah BUNUH bergini TIADA TARIKH LUPUTnya!
Ayuh, segera tegakkan keadilan!