KUALA LUMPUR- Pengeksport Malaysia harus memanfaatkan saluran digital seperti aplikasi MyExport, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) untuk memastikan keterlibatan bersama-sama pelanggan kekal terjalin meskipun pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif  MATRADE Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata potensi perdagangan dalam talian yang dipaparkan di MyExport memberi peluang kepada pengeksport Malaysia menyediakan tawaran perniagaan mengikut kehendak pelanggan dan kepintaran perdagangan ini dikemas kini setiap hari oleh 46 pesuruhjaya perdagangan MATRADE di seluruh dunia.

“Memanfaatkan platform digital telah menjadi normal baharu kepada perniagaan bukan sahaja untuk bertahan, malah agar sentiasa muncul di pasaran eksport.

“Sebagai pelengkap kepada potensi perdagangan ini, MyExport menyediakan maklumat pasaran yang dikemas kini untuk memastikan pengeksport Malaysia sentiasa mengikuti trend perniagaan antarabangsa dan peluang-peluang eksport terkini.

“Saya yakin dalam situasi pada masa ini, platform dalam talian adalah penting kepada pengeksport Malaysia untuk kekal berhubung dengan pembeli asing yang berpotensi yang dapat diterjemahkan dalam perjanjian perniagaan yang sebenar,” katanya dalam kenyataan.

Pada 2019,  MyExport menyiarkan 4,157 potensi perdagangan daripada pengimport di 112 negara yang ingin mendapatkan produk dan perkhidmatan dari Malaysia dan sehingga Jun 2020, sebanyak 1,158 peluang disenaraikan di MyExport.

Antara produk yang diminati oleh syarikat-syarikat asing ialah makanan siap, material bangunan dan pembinaan, bahan kimia, perabot dan bahagian dan komponen automotif.

Semasa pandemik itu, produk-produk perubatan termasuk sarung tangan perubatan, pelitup muka, gaun hospital dan pensanitasi adalah yang paling mendapat permintaan. Pertanyaan-pertanyaan ini diterima dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Eropah, India, Afrika, Amerika Latin dan negara-negara ASEAN.

MyExport yang ketika ini mempunyai hampir 13,000 pelanggan turut memberi peluang kepada pengeksport Malaysia menilai kesediaan eksport mereka menerusi Alat Penilaian Kesediaan Eksport (ERAT) dan menyemak status permohonan mereka bagi program MATRADE dan kemudahan eksport.

— BERNAMA