KUALA LUMPUR- Bank Dunia meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menguncup sebanyak 3.1 peratus berbanding jangkaan awal iaitu -0.1 peratus pada April disebabkan oleh ketidaktentuan kesan pandemik Covid-19.
Tambahnya, pada suku pertama 2020, pertumbuhan dijangka perlahan kepada hanya 0.7 peratus dengan usaha membendung penularan wabak Covid-19 telah menyekat banyak aktiviti ekonomi.
“Sebahagian pemulihan dijangka bermula pada separuh kedua tahun ini kerana wabak semakin berkurangan dan sekatan perjalanan mula dilonggarkan,” katanya.
Tambahnya, ekonomi Malaysia dijangka kekal kukuh di atas asas yang kuat.
Struktur kepelbagaian ekonomi, sistem kewangan yang kukuh, respon kesihatan awam yang efektif serta sokongan makro-ekonomi yang proaktif membuatkan Malaysia mampu berhadapan dengan cabaran lebih baik berbanding negara-negara lain.
Menurut Bank Dunia, dalam tempoh jangka pendek, keutamaan strategi fiskal Malaysia perlu disusun semula bagi membuka ruang kepada polisi tambahan.
Jelasnya, kerajaan mungkin perlu membuat peruntukan semula perbelanjaan mereka kepada sektor-sektor yang diberi keutamaan di samping mengenal pasti sumber pendapatan bukan cukai dan pindaan legislatif bagi menambah ruang fiskal buat sementara waktu.- MalaysiaGazette