Bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gadam selepas menghadiri perbicaraan kes melucut hak harta membabitkan wang RM100,000 yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu dikaitkan dengan dana 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 24 Julai depan bagi menentukan keputusan kes melucut hak harta membabitkan wang berjumlah RM100,000 milik bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gadam.

Wang tersebut disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada tahun lalu dengan dakwaan bahawa dana itu mempunyai kaitan dengan syarikat, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas mendengar hujah pihak pendakwaan dan pembelaan selama hampir sejam.

Ketika mengemukakan hujah, peguam bela Kasitah, Sasila Basri berkata, apakah bukti yang ada mengaitkan wujudnya elemen aktiviti haram terhadap anak guamnya.

Kata Sasila, pihak pendakwaan belum dapat membuktikan wang sebanyak RM100,000 dalam akaun peribadi Kasitah pada 2012 adalah hasil daripada aktiviti haram.

“Akaun CIMB anak guam saya telah dibuka sekitar 2004 iaitu selepas beliau bersara. Akaun itu dibuka kerana ada wang pencen masuk.

“Buktikan apakah sebenarnya aktiviti haram dilakukan oleh anak guam saya dan melalui aktiviti haram itu, apakah hasilnya Apakah bukti mengatakan akaun CIMB itu untuk aktiviti haram?

“Walhal duit pencen beliau sudah mula masuk sejak 2004 lagi. Nilai yang ada dalam akaun beliau sebenarnya melebihi RM100,000 seperti didakwa. Apakah aktiviti haram yang disebut itu?,” soalnya di hadapan Ahmad Shahrir.

Sementara itu, pendakwa SPRM, Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim tetap bertegas menyatakan harta yang telah disita itu adalah daripada aktiviti haram.

Tambah beliau, walaupun responden telah mengguna wang tersebut yang dipercayai telah diberikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2012, namun ia tidak mengubah apa-apa fakta.

“Walaupun wang itu telah dibelanjakan namun ianya tidak mengubah fakta dana itu telah dimasukkan ke dalam akaun responden. Malah jika sudah dibelanjakan, maka beliau perlu membayar jumlah itu kepada kerajaan kembali,” ujarnya.

Kasitah yang turut berada di mahkamah kelihatan tenang dan sesekali bercakap dengan peguamnya.

Bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gadam selepas menghadiri perbicaraan kes melucut hak harta membabitkan wang RM100,000 yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu dikaitkan dengan dana 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2020

Ketika ditemui wartawan selepas perbicaraan, Kasitah sempat mengukir senyuman.

Ketika ditanya adakah beliau masih aktif berpolitik, bekas veteran itu hanya menggelengkan kepalanya.

Pada tahun lalu, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, suruhanjaya itu memfailkan permohonan untuk melucut hak harta terhadap 41 responden bagi memperoleh semula dana berjumlah kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Tindakan undang-undang itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) yang mana SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank Najib.

SPRM juga ketika itu mengeluarkan kompaun bagi mendapatkan semula RM420 juta yang didakwa dana 1MDB yang disalurkan kepada 80 individu dan pertubuhan. – MalaysiaGazette