Harga ayam kembali stabil ekoran pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021, di seluruh negara yang bermula hari ini.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memandang serius isu berkaitan kenaikan harga ayam sejurus selepas tamat perlaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) seperti yang dilaporkan di media tempatan baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Alexander Nantha Linggi pada masa yang sama mengakui terdapat juga segelintir kawasan dan peniaga yang menjual  ayam dengan harga yang berpatutan selepas SHMMP.

Bagaimanapun ia hanyalah bersifat sementara ekoran bekalan terhad yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan selama ini dan akan pulih kelak.

Beliau menasihatkan orang ramai khususnya pengguna supaya menggunakan aplikasi Price Catcher yang diperkenalkan kementeriannya untuk membuat perbandingan harga barang serta premis yang terbaik serta membuat pilihan yang bijaksana.

Bagaimanapun beliau menjelaskan pihaknya mengambilkira pandangan semua pihak termasuk pembekal, peniaga dan pengguna berkenaan isu harga ayam yang merupakan sumber protein dan makanan utama rakyat Malaysia.

Katanya, apa jua keputusan dan tindakan yang diambil kerajaan sentiasa seimbang untuk semua pihak berdasarkan kepada kaedah menang-menang.

“KPDNHEP telah mengadakan sesi libat-urus dengan lima syarikat penternak ayam baru-baru ini untuk mendapatkan pandangan dan input lapangan yang mempengaruhi harga ayam di pasaran terkini.

“Pihak kami telah mengeluarkan Notis 21 di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 kepada semua penternak bagi mendapatkan maklumat dalam mengesan rantaian bekalan sebelum tiba kepada peniaga dan pengguna,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Putrajaya hari ini.

Tambah Alexander, kementerian juga sentiasa mendapatkan data terkini di mana beliau dan pasukannya turun padang mendapatkan input dari peniaga dan pengguna yang ditemui di pasar awam dan pasar raya.

Justeru katanya, KPDNHEP juga menggerakkan lebih 1,000 pemantau harga yang mengumpul harga barangan asas termasuk ayam setiap hari di seluruh negara di mana daftar harga tersebut boleh diperolehi dari aplikasi Price Catcher.

Disamping itu, seramai 2,300 pegawai peguat kuasa juga memantau dan memeriksa premis perniagaan termasuk bekalan dan harga ayam di kedai runcit, pasar awam dan pasar raya dan bertindak terhadap aduan pengguna.

Alexander memberitahu kementeriannya sentiasa membuka pintu kepada peniaga dan pengguna mengenai isu-isu yang berkaitan dengan isu harga barang keperluan bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terjamin dan menzahirkan ekosistem perdagangan dalam negeri yang beretika dan adil.

Berdasarkan kepada kajian Bahagian Harga Barang Negara, KPDNHEP dan data harga ayam yang dikumpul selama 10 tahun serta pemantauan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP mendapati harga ayam turun naik berdasarkan permintaan dan bekalan.

Kenaikan selepas SHMMP didapati dipengaruhi daripada bekalan yang terhad selepas permintaan yang menguncup dan terjejas akibat PKP selama lebih dua bulan di mana premis perniagaan, restoran, hotel dan majlis keraian tidak boleh beroperasi.

“Kementerian yakin ini merupakan fenomena cyclicle bekalan yang bersifat sementara di mana bekalan dijangka akan pulih dalam sedikit masa lagi.

“Kementerian akan terus memantau situasi ini dan akan mengambil tindakan di bawah kuasa dan peruntukan akta yang diberikan jika perlu,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama beliau menasihatkan semua pemain industri, pemborong dan peniaga agar bersikap adil dan tidak mengambil kesempatan di dalam situasi sekarang.

Menurut Alexander lagi, kelonggaran yang diberikan membolehkan semua sektor ekonomi beroperasi sepenuhnya setelah terhenti seketika, tidak dijadikan peluang untuk mengaut keuntungan secara tidak munasabah.

Ujarnya, pengguna pula harus sentiasa menjadi pengguna bestari dengan menggunakan semua pilihan yang ada untuk berbelanja.

“Masih ada premis yang menjual ayam dengan harga yang berpatutan. Pengguna dinasihatkan agar membuat perbandingan harga ayam dan barang keperluan pengguna melalui aplikasi Price Catcher (pengesanan harga) yang diperkenalkan oleh KPDNHEP bagi mendapatkan harga dan premis yang terbaik sebelum berbelanja.

Pengguna pula disaran agar melaporkan sebarang aduan berkaitan harga barangan pengguna ke kementerian melalui lapan saluran aduan yang disediakan untuk pengguna dan boleh diperolehi menerusi laman web rasmi KPDNHEP.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast