Mila Jirin.

KUALA LUMPUR – Penyanyi Mila Jirin yang juga pengusaha perkhidmatan perunding perkahwinan akhirnya menarik nafas lega apabila kerajaan membenarkan penganjuran majlis bermula 1 Julai ini.

Di bawah jenama Bizmilla Wedding Centre, Mila Jirin menyifatkan kebenaran untuk kembali beroperasi sangat bermakna kepada industri tersebut.

“Itu yang paling saya gembira (selamatkan pekerja daripada kehilangan pekerjaan).

“Alhamdulillah, sujud syukur saya kepada Allah.

“Mengalir air mata saya apabila terima banyak DM (pesanan peribadi) mengucapkan terima kasih daripada sahabat industri,” katanya dalam satu kenyataan.

Mila berkata, sebelum ini beliau pernah dikecam gara-gara memuat naik kenyataan di laman sosial memohon agar kerajaan membenarkan pengusaha industri perkahwinan mengemukakan prosedur operasi standard (SOP).

Bagaimanapun, perkara itu tidak mematahkan semangat sebaliknya keluhan tersebut telah mendapatkan perhatian media.

Justeru itu, juara Akademi Fantasia musim kelima itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kementerian berkaitan kerana membenarkan pihak mereka menghantar SOP kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk diperhalusi pada 16 Jun lalu.

Mila hadir ke kementerian berkenaan bagi mewakili ribuan pengusaha industri tersebut.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang sangat prihatin dan sudi mendengar luahan kami pengusaha industri perkahwinan, sekali gus membawa SOP kami untuk diperhalusi.

“Apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat pengumuman, saya rasa sangat bersyukur.

“Ini kerana, ia bukan hanya membantu Bizmilla untuk beroperasi semula tetapi dapat sama-sama membantu semua pengusaha industri perkahwinan memulakan perniagaan mereka semula kerana rata-rata sedang mengalami masalah dalam menguruskan perniagaan dan para pekerja tanpa sebarang pendapatan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Mila berharap semua pengusaha industri penyedia perkahwinan dapat mematuhi SOP yang ditetapkan  oleh kerajaan bagi mengelakkan penularan COVID-19.

Katanya, Bizmilla akan mula beroperasi pada Jumaat ini.

Sebelum ini, media melaporkan perniagaan Bizmilla berdepan kerugian susulan industri penyedia perkahwinan tidak dibenarkan beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, syarikat itu terpaksa menampung kos operasi termasuk sewa premis serta membayar gaji pekerja yang menelan kos sebanyak RM500,000 sebulan.

Semalam, Ismail Sabri memaklumkan majlis sosial dibenarkan beroperasi semula dengan kapasiti tetamu tidak melebihi 250 orang bergantung kepada saiz kawasan.

Katanya, penganjuran majlis sosial tersebut juga dihadkan antara tiga hingga lima jam sahaja. – MalaysiaGazette