Tetuduh wanita 60-an di bawa oleh pegawai Jabatan Pendaftaran Negara selepas selesai hadir ke Mahkamah untuk didakwa dalam kes menggunakan kad pengenalan milik individu benama Rahimah Mohamed di Mahkamah Majistret Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2020.

SHAH ALAM – Padah menyamar sebagai pemilik kad pengenalan orang lain, seorang wanita berusia 60-an hari ini dihukum penjara 10 bulan.

Tertuduh didakwa menggunakan kad pengenalan milik Rahimah Mohamed.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada 23 Jun 2020 di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) cawangan Selangor di Plaza Masalam tanpa kuasa atau sebab sah dan munasabah didapati menggunakan kad pengenalan yang bukan identiti sebenarnya.

Wanita itu, yang menjual air kelapa di kawasan Subang Jaya mendakwa telah menetap dan dibesarkan oleh orang lain di negara ini, selepas bapanya meninggal dunia 22 tahun yang lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di bawah Peraturan  25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda RM20,000, atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, wanita itu kemudian mengaku bersalah di Mahkamah Majistret dan merayu agar hukuman terhadapnya diringankan atas sebab tidak mempunyai keluarga dan kini hidup sebatang kara.

Tertuduh, Muhammad Firdaus Abd Latif dan isterinya Nurdiana Sazwani Hero Salleh selepas selesai hadir ke Mahkamah untuk didakwa atas cuba mendaftar sijil kelahiran seoran kanak-kanak lelaki Mohamad Sudais dengan maklumat palsu di Mahkamah Majistret Shah Alam. foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2020.

Dalam pada itu, JPN turut mengheret sepasang suami isteri ke mahkamah hari ini atas dakwaan cuba mendaftarkan sijil kelahiran seorang kanak-kanak lelaki dengan maklumat palsu.

Tertuduh Muhammad Firdaus Abd Latif dan isterinya, Nurdiana Syazwani Hero Salleh yang melakukan kesalahan itu di cawangan JPN Selangor di Plaza Masalam pada 23 Jun lalu didakwa dengan sengaja memalsukan butiran pendaftaran kelahiran Mohamad Sudais.

Kes yang difailkan oleh JPN itu merupakan kesalahan  di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta 299 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun, denda RM20,000 atau kedua-duanya

Kedua-dua tertuduh itu mengaku bersalah dan memohon agar hukuman diringankan kerana mengalami kekangan kewangan dan dalam masa sama perlu menjaga ayah yang mengalami sakit jantung. 

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin selepas mendengar rayuan pasangan itu agar hukuman diringankan menetapkan denda sebanyak RM3,000 bagi setiap seorang. – MalaysiaGazette