Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Pakej rangsangan, termasuk Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan oleh kerajaan, selain kadar faedah rendah, dijangka mengurangkan impak daripada COVID-19.

MIDF Amanah Investment Bank berkata walaupun dijangka pemulihan secara berperingkat bermula suku ketiga 2020 sejajar dengan sekatan pergerakan yang dilonggarkan di peringkat domestik dan global, Malaysia dijangka mencatatkan penguncupan ekonomi pada suku kedua 2020.

“Beberapa langkah yang diumumkan dalam dasar pengembangan dijangka memberi kelegaan kepada rakyat dan perniagaan serta menarik penggunaan, yang akhirnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” menurut firma pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia, mengumumkan Indeks Pelopor (IP) Malaysia pada April 2020 merosot lebih jauh kepada negatif 5.5 peratus daripada negatif 3.6 peratus pada Mac 2020 berikutan sumbangan negatif daripada bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan dan bilangan syarikat baharu yang didaftar.

MIDF berkata prestasi indeks yang rendah menunjukkan ekonomi akan terus menguncup dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Bersamaan dengan IP, Indeks Serentak (IS) yang mengukur prestasi keseluruhan ekonomi semasa, mencatatkan penurunan mendadak pada negatif 15.6 peratus berbanding negatif 6.9 peratus pada bulan sebelumnya, mencerminkan impak daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan perniagaan ditutup dan permintaan merosot.

Firma penyelidikan itu berkata IS terkini menunjukkan Februari 2020 merupakan tahap kitaran tertinggi, mencerminkan berakhirnya fasa pengembangan atau bermulanya fasa kemelesetan ekonomi.

— BERNAMA