Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bantuan sebanyak RM350 juta kepada usahawan tani yang terjejas akibat Covid-19 adalah tepat pada masanya bagi membantu menyediakan modal operasi untuk memulihkan perniagaan lebih 14,000 usahawan mikro.

Menurut Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar, lima kumpulan sasar telah dikenal pasti bagi program pembiayaan tersebut.

Mereka adalah usahawan tadi di bawah PPK, nelayan, petani padi, syarikat baharu dan pengusaha mikro sedia ada.

“Sebagai institusi kewangan pembangunan yang diberikan mandat untuk mendukung pertumbuhan sektor pertanian di negara ini, Agrobank komited untuk menyediakan pembiayaan dan penyelesaian kewangan yang relevan kepada komuniti agro.

“Akses kepada kewangan adalah penting untuk memulakan dan menjana semula perniagaan yang terkesan akibat wabak ini. Kami percaya bahawa pengusaha akan mendapat manfaat dari kadar rendah dan tidak memerlukan sebarang jaminan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mengumumkan pemberian dana kredit mikro berjumlah RM350 juta sebagai bantuan kepada usahawan tani yang terjejas akibat Covid-19 susulan peruntukan di bawah Dana Agromakanan melalui Pelan Pemulihan Ekonomi Nasional (Penjana).

Tambah Khadijah, bagi menyokong komuniti yang kurang mendapat liputan dan terpinggir, Agrobank secara aktif bekerjasama dengan rakan strategik seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), FELDA, Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM), kerajaan negeri Pahang dan Sarawak dan banyak lagi untuk memberi peluang dan memperkasakan kumpulan B40.

Individu atau perusahaan yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan Skim Pembiayaan Kredit Mikro ini boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Agrobank di 1-300- 88-2476 atau kunjungi cawangan yang terdekat.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast