Fadillah Yusof

KOTA SAMARAHAN – Kementerian Kerja Raya sedang meneliti kaedah baharu bagi mempercepat pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di sebelah Sarawak selepas tertangguh susulan pembatalan Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) sebagai rakan penyampai projek (PDP) dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Infrastruktur merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebuah pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi tujuan itu.

“Bila PDP dibatalkan dulu, (secara) automatik projek ini diberi lanjutan untuk satu tahun dan dengan berlakunya (pandemik) COVID-19, MCO (PKP) dan sebagainya, sudah pasti tempoh ini akan ada lanjutan lagi,” katanya pada sidang media selepas melakukan upacara pecah tanah projek menaik taraf sebahagian daripada Jalan Mohd Musa, di sini hari ini.

Fadillah berkata, pihaknya menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan memuktamadkan kaedah baharu tersebut secepat mungkin dan dikemukakan kepada kabinet persekutuan sekiranya memerlukan perubahan dasar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk menghormati keputusan yang dibuat kerajaan Pakatan Harapan dahulu berhubung pembatalan PDP sekalipun PN berdepan implikasi pelbagai tuntutan daripada LBU termasuk ganti rugi.

Menurutnya, projek dengan kos asal sekitar RM16.488 bilion itu sudah hampir 50 peratus siap sebelum tertangguh berikutan pembatalan PDP dan pelaksanaan PKP.

Projek Pan Borneo Sarawak melibatkan 11 fasa, kebanyakannya melibatkan naik taraf jalan persekutuan daripada dua kepada empat lorong.

Keseluruhan projek Pan Borneo Sarawak melibatkan pembinaan 115 jambatan, 25 persimpangan bertingkat, tiga kawasan rehat dan rawat serta enam hentian. – Bernama