Calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain bercakap pada Program Bersama Rakyat sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di Batu Gong, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 28 JUN 2020.

CHINI – Keterlibatan beberapa pemimpin utama Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini memberikan suntikan semangat kepada jentera dan calon BN, Mohd Sharim Md Zain.

Menurut Mohd Sharim, Datuk Seri Najib Razak, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan banyak impak kepada jentera untuk terus bekerja keras dan menemui pengundi di segenap kawasan Chini.

“Saya sangat gembira dengan kehadiran pemimpin-pemimpin besar UMNO di DUN Chini ini.

“Ini memberikan suntikan semangat kepada saya dan jentera BN dan Muafakat Nasional di Chini,” katanya dalam siri kempen bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Gendrum, Batu Gong.

Hari ini adalah hari kesembilan kempen PRK DUN Chini selepas proses penamaan calon selesai, minggu lalu.

Selain Najib dan Ahmad Zahid, turut turun berkempen adalah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ahli Perlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain (kanan) hadir pada Program Bersama Rakyat sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di Batu Gong, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 28 JUN 2020.

Menurut Mohd Sharim, fokus utama beliau dalam siri kempennya adalah mendekati masyarakat peneroka Felda, penduduk Kampung Tradisi dan masyarakat Orang Asli.

Statistik pengundi Orang Asli meliputi 9 peratus iaitu 1,900 pengundi daripada jumlah keseluruhan 20,990 pengundi.

“Saya akan terus berusaha berjumpa seramai yang mungkin, perkenalkan diri saya sebagai calon N23 DUN Chini.

“Saya rasa  bersemangat untuk meneruskan kerja-kerja ini sehingga kempen berakhir pada 3 Julai depan,” katanya.

Mohd Sharim turut berterima kasih kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang turut datang berkempen untuk beliau di Chini.

Ujarnya, penerimaan baik terhadap beliau sebagai calon PRK DUN Chini amat dihargai.

“Semalam saya bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzan Zainuddin dan bersama-sama rakan-rakan Armada.

“Saya melihat mereka mengalu-alukan keberadaan saya di Chini dan kita sudah ada persefahaman dalam Perikatan Nasional dan kekuatan untuk bersama dalam satu kerajaan.

“Mereka terima saya sebagai calon,” katanya lagi.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun dari UMNO pada 7 Mei lalu ekoran serangan jantung.

Pada pilihan raya umum lalu, Abu Bakar mengalahkan Mohd Fadhil Noor Abdul Karim Pas dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR dengan majoriti 4,622 undi. – MalaysiaGazette