Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan ke atas kanak-kanak bagi membendung wabak Covid - 19 berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Pangsapuri Segar Ria, Taman Segar, Cheras, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 03 JUN 2020

BEIJING – Kes koronavirus global sudah mencecah 10 juta orang dan mengorbankan hampir setengah juta penduduk dalam tempoh tujuh bulan.

Jumlah itu secara kasar adalah dua kali ganda penyakit influenza yang teruk direkodkan setiap tahun, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Peningkatan kes jangkitan terus melonjak apabila negara-negara yang teruk dijangkiti wabak itu melonggarkan sekatan perjalanan sedangkan vaksin Covid-19 masih belum berada dalam pasaran.

Beberapa negara mengalami peningkatan semula jangkitan, yang menyebabkan pihak berkuasa melaksanakan semula sekatan – keadaan yang mana akan menjadi pola berulang pada bulan-bulan mendatang dan hingga 2021.

Amerika Utara, Amerika Latin dan Eropah masing-masing menyumbang sekitar 25% kes, sementara Asia dan Timur Tengah masing-masing sekitar 11% dan 9%.

Setakat ini terdapat lebih daripada 497,000 kematian yang berkaitan dengan penyakit ini – hampir sama dengan jumlah kematian akibat influenza yang dilaporkan setiap tahun.

Kes pertama koronavirus baharu disahkan pada 10 Januari di Wuhan di China, sebelum jangkitan dan kematian meningkat di Eropah, kemudian Amerika Syarikat dan Rusia.

Pandemik Covid-19 ini sudah memasuki fasa baharu, dengan India dan Brazil memerangi wabak yang merekodkan lebih daripada 10.000 kes sehari.

Kedua-dua negara menyumbang lebih satu pertiga daripada kes baharu dalam seminggu yang lalu.

Brazil melaporkan 54,700 kes baharu pada 19 Jun.

Beberapa penyelidik mengatakan jumlah kematian di Amerika Latin boleh meningkat menjadi lebih dari 380,000 pada Oktober berbanding sekitar 100,000 minggu ini.

Jumlah kes terus meningkat pada kadar antara 1-2% sehari pada minggu lalu, turun daripada lebih 10% pada bulan Mac.

Amerika Syarikat, yang melaporkan sebilangan kes tertinggi melebihi 2.5 juta, berjaya mengawal penyebaran virus pada bulan Mei, tetapi kembali merebak dalam minggu-minggu kebelakangan ini di kawasan luar bandar dan tempat-tempat lain yang sebelumnya tidak terjejas. – MalaysiaGazette