Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain bertanyakan sesuatu dengan seorang penduduk semasa sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Bandar Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JUN 2020.

CHINI – “Pada saya Mohd Sharim adalah calon terbaik yang dapat bela nasib peneroka”, itu kata seorang pengundi, Fauziah Abdul Majid tentang calon-calon yang menawarkan diri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini kali ini.

Suri rumah dari Chini 1 itu berkata, kredibiliti calon dan kekukuhan parti yang diwakilinya menjadi aspek penting untuk beliau membuat pilihan.

“Saya lebih minat untuk undi calon BN daripada dulu lagi.

“Saya sememangnya akan pilih sesiapa sahaja calon daripada BN,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Seorang lagi warga Chini, Alias Idrus, 67, pula memberitahu, calon yang boleh membela nasib masyarakat Felda di Chini menjadi pilihannya.

Ini kerana, ujarnya, hanya individu yang duduk di Felda sahaja akan memahami permasalahan yang membelenggu masyarakat di situ selama ini.

“Paling penting dia boleh bela nasib peneroka Chini. Tengok kepada perbezaan dia dengan calon lain, orang ini lain, orang itu lain. Pada saya dia adalah calon yang terbaik yang dapat bela nasib peneroka,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengundi tidak menafikan semua calon bagus tetapi calon muda adalah lebih baik.

”Saya nak dia (calon) yang  boleh bela nasib anak muda Chini. Rasanya dia ada kaliber untuk jadi ADUN,” kata Rohaya Jamaluddin, 47 tahun.

Bagi Hadali Hashim, 66, gabungan Muafakat Nasional antara Pas dan UMNO mengukuhkan lagi kedudukan politik di Chini.

Ujarnya, sekiranya gabungan politik itu kuat di Chini, maka sukar untuk anasir luar memecahkan kekuatan tersebut.

“Sebagai pegawai masjid Felda Chini 3, mana-mana calon sama sahaja tapi kita nak calon BN. Mereka sudah bersatu dengan Pas,” katanya.

Dalam pada itu, Mustapa Kamal Basha, 67, pula berkata, calon muda boleh berkhidmat dengan cemerlang dan membangunkan Chini seiring dengan kemajuan di bandar-bandar lain.

“Kalau ikut trend hari ini orang muda kata dia boleh memimpin Chini.

“Saya harap dia menang, dan terpulang kepada dia sebab sudah dianugerahkan kuasa sebagai wakil rakyat.

“Sebagai pengundi tua, saya nasihatkan bila sudah menang buat macam mana seperti sebelum dia menang. Jangan bila sudah menang dan lupa diri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast