Menteri Luar Negeri yang juga bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein diiringi calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain (kiri duduk) beramah mesra bersama penduduk pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli sempena Pilihan Raya Kecil N.23 CHINI di Kampung Orang Asli Gumum, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 28 JUN 2020

CHINI – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini tidak boleh dijadikan kayu pengukur kesepakatan parti dalam Perikatan Nasional.

Bagaimanapun, menurut bekas Naib Presiden UMNO itu, ia bukanlah alasan untuk semua parti komponen dalam kerajaan untuk tidak bergerak bersama-sama bagi memenangkan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain.

“Saya tak nampak masalah sangat (di Chini) tetapi ini merupakan kawasan yang sengit  pertandingan jadi ini tidak boleh jadi penanda aras untuk kita tentukan kesepakatan kita.

“Tapi setakat untuk bergerak macam ini pun tidak ada masalah dan ini petanda baik untuk parti berkenaan untuk bergerak senada dan seirama sebagai satu pasukan untuk menangkan calon,” katanya kepada media selepas melakukan ziarah masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Gumum, Chini.

Ditanya samada Mohd Sharim akan memperoleh kemenangan mudah, Hishammuddin berkata perkara itu akan dapat direalisasikan menerusi kerja kuat yang dipamerkan jentera parti.

“Walaupun orang kata kita tidak punya masalah untuk menang di Chini tapi saya telah mengingatkan kepada mereka ini merupakan PRK pertama selepas kita meneraju kerajaan dan ini mungkin PRK yang terakhir sebelum kita bersidang di Dewan Rakyat.

“Kita kena sampaikan mesej sejelasnya tentang tuduhan bahawa kita tidak bersatu dan tidak ada sokongan di bawah. Mungkin sedikit sebanyak boleh dijawab dalam PRK Chini ini,” katanya.

Menteri Luar Negeri yang juga bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bercakap kepada media pada Program Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli sempena Pilihan Raya Kecil N.23 CHINI di Kampung Orang Asli Gumum, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 28 JUN 2020

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata beliau akan mengadakan perbicangan lanjut dengan rakan sejawatannya dari Singapura, mengenai cadangan pembukaan pintu sempadan kedua-dua negara menggunakan konsep ‘bubble travel’ atau gelembung perjalanam.

Ia termasuk mengemukakan cadangan membenarkan hanya empat golongan sahaja perjalanan rentas negara.

“Kita tengok mengikut negeri dan seperti saya umumkan di Sembrong semalam tumpuan kita kepada Singapura dahulu dan dalam negara itu ada empat golongan yang kita beri tumpuan dan bidang perniagaan itu tidak ramai.

“Mungkin 500 orang sahaja. Dan kumpulan yang berada di Singapura yang belum balik dari Malaysia jumlahnya 20,000 lebih dan jumlah yang lebih besar lagi ulang alik harian.

“Untuk Singapura ini kita kena buat apa jua keputusan termasuk yang lima lagi negara kepada pertimbangan antara kesihatan dan juga ekonomi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, cadangan melaksanakan perjalanan bersama negara dalam kategori zon hijau perlu dilaksana segera, bagi menjana semula ekonomi.

Namun, beliau memberi jaminan, pelaksanaannya akan mengutamakan aspek pematuhan protokol kesihatan, bagi mengelak penularan COVID-19.

“Sekarang banyak telah kita panjangkan kepada negara Singapura dan banyak negara bergantung kepada kumpulan mana. Mungkin kumpulan pertama dan kedua itu kita boleh umumkan dalam masa terdekat.

“Tapi saya akan hubungi Menteri Luar Singapura esok kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun telah bincang dengan Perdana Menteri Singapura,” katanya lagi. – MalaysiaGazette