KUALA LUMPUR – Butik yang menjadi hub golongan selebriti menjual pakaian, Starvilion Sdn. Bhd bakal ditutup dan lebih kurang 150 pekerja dijangka kehilangan pekerjaan.

Sebelum menutup butik yang terletak di Seksyen 7 Shah Alam itu, pemiliknya Wak Doyok menganjurkan Jualan Terakhir Starvilion – Shutdown Sale pada 24 Jun hingga 5 Julai ini.

“Tapi Wak minta mereka try sekali lagi, jualan yang terakhir dari @starvilion khas untuk pelanggan yang tak jemu-jemu sokong @starvilion selama ini. Koleksi yang kami ada semua memang elok & cantik. Wak terpaksa lelong semua ni!,” katanya menerusi Instagram.

Selepas lebih kurang 3 tahun beroperasi, Wak Doyok meluahkan rasa sedih apabila butik yang memberikan punca pendapatan kepada ramai pihak kini terpaksa ditamatkan operasinya.

“Sedih rasa di hati tapi Wak kena kuatkan semangat demi 70 orang adik yang bekerja dengan Wak selama 3 tahun di @starvilion. Susah bila keadaan terus menduga macam ni. Wak nak bagi perintah tutup company pun sedih, tak sampai hati,” katanya lagi.

Wak Doyok berkata, butik itu menanggung lambakan stok pakaian hampir 75,000 pasang yang sehingga kini masih belum terjual .

Justeru, beliau akan menyumbang 5,000 pasang baju Melayu kepada pelanggan yang hadir ke jualan terakhir tersebut.

Tidak ketinggalan Starvilion juga akan memberi 1,100 helai tudung secara percuma kepada pelanggan mereka.

Menurutnya, koleksi selebriti Starvilion akan dilelong bermula dari serendah RM 1.

Pelanggan boleh mendapatkan koleksi baju kurung serendah RM29 sepasang, baju Melayu Wak Doyok bermula serendah RM50 sepasang dan kurta akan dilelong 5 helai untuk RM100. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Jatuh bangun dlm bisnes tu biasa tp bangun terus bangun lepas jatuh tu lagi luar biasa

Comments are closed.