Ketua Setiausaha Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), Zulhelmi Manor (dua kanan), Aktivis Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), Anson Lim (kanan) dan Pengerusi ABATA, Adnan Abu Bakar (dua kiri) menunjukkan laporan polis berkaitan promosi mirip logo JATA Negara yang diubahsuai di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 29 JUN 2020

PETALING JAYA – Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut) hari ini mendesak pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat penerbitan sebuah buku yang memaparkan logo mirip jata negara yang diubahsuai sebagai penghias kulit buku.

Ketua Setiausahanya, Zulhelmi Mansor menegaskan, tindakan syarikat penerbitan buku itu didakwa menghina negara dengan mengubahsuai jata negara dengan meletakkan gambar kanak-kanak berbogel serta objek lain.

“Perbuatan ini jelas menggambarkan betapa penulis buku seolah-olah merendah-rendahkan martabat jata negara dan menghina lambang rasmi kedaulatan negara.

“Kami mendesak agar pihak penulis, penyunting dan penerbit buku ini disiasat dan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa jika benar terbukti wujud motif untuk berlaku biadab dan menghina lambang rasmi negara,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini hari ini.

Terdahulu Zulhelmi bersama Pengerusi Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), Adnan Abu Bakar dan Aktivis Tuntut, Anson Lim membuat laporan polis terhadap sebuah syarikat buku, Ilham Books yang mengiklankan sebuah buku bertajuk “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia”.

Buku suntingan seorang penulis, Kean Wong mempamerkan sebuah logo mirip jata negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Lukisan mirip jata negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta mengubahsuai bentuk dua ekor harimau, selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

Dalam pada itu, Zulhelmi juga mendesak pihak berkuasa menangkap segera semua pihak yang terbabit dalam penerbitan buku yang menggunakan jata negara yang diubahsuai itu.

“Kami mendesak pihak berkuasa kutip segara puak-puak tidak bertanggungjawab, perkara ini tidak boleh dikompromi kerana kalau kita biarkan boleh menjatuh dan merosakkan kedaulatan negara kita,” katanya.

Tegasnya lagi, KDN turut digesa menyekat segera penerbitan dan pengedaran buku terbabit di kedai-kedai buku tempatan agar tidak tersebar di seluruh negara.

“Kita mahu pihak berkuasa menyekat buku-buku ini daripada tersebar di mana-mana kedai buku kita sarankan supaya dihentikan penyebaran.

“Kita mahu pihak KDN supaya memandang serius, tiada kompromi dan menangkap puak-puak tidak bertanggungjawab supaya perkara ini tidak berlaku.

“Kita mohon langkah segera dengan menggantung penerbitan dan pengedaran buku ini bagi mengelakkan ia tersebar ke seluruh negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette