Abdul Hafeez Abdullah

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) kesal kerana tiada wakil belia dilantik dalam Majlis Penasihat Pertanian Negara (MPPN) Sesi 2020-2021 yang diumumkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani MBM, Abdul Hafeez Abdullah berkata, kementerian berkenaan seharusnya mendahulukan golongan belia mewakili MPPN sebagai platform penasihat dan membuat cadangan dasar dan strategi.

Sehubungan itu, MBM mahu  Datuk Seri Ronald Kiandee membuat rombakan dan melantik dua wakil belia MBM dalam MPPN.

Katanya ia bersesuaian dengan Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015-2035 yang menyatakan  hal ehwal pembangunan belia merentas kementerian dan jumlah populasi belia Malaysia yang mencecah 14.7 juta.

“Selain itu golongan belia wajar diberikan tempat dalam MPPN bagi mewakili suara belia dalam menasihati Menteri dalam hal ehwal berkaitan belia dan pertanian, sementelah ia amat berkait rapat dengan masa depan mereka yang berkaitan jaminan makanan, katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah beliau, kehadiran golongan belia dalam MPPN juga mampu memberikan idea  segar bagi menarik golongan belia untuk terlibat dalam sektor pertanian.

Justeru, katanya, Ronald Kiandee wajar mempertimbangkan dua wakil belia MBM yang menjadi suara rasmi belia Malaysia dan seorang lagi belia tani.

“MBM juga menggesa kerajaan lebih serius melibatkan penyertaan golongan belia yang berkelayakan dan berkemahiran dalam semua platform penasihat, pembuatan dasar dan keputusan di semua peringkat agar suara belia benar-benar dihargai dan diwakili,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast