PUTRAJAYA – Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini mempersoalkan keikhlasan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila menamakan Ahli Parlimen dari Sabah sebagai calon Perdana Menteri untuk Pakatan Harapan (PH) Plus.
Setiausaha Agungnya, Datuk Alexander Nanta Linggi menegaskan, cadangan itu dilihat tidak lebih kepada permainan dan demi kelangsungan politik bekas Perdana Menteri itu.
“Bagi saya tak ada masalah sesiapa, asal dia ada kelayakan, kebolehan dan sebagainya. Datuk Seri Mohd Shafie Apdal seorang pemimpin terbukti.
“Tapi yang saya nak tanya balik ke mana keikhlasan Tun apabila mencadangkan itu? Kalau ikhlas tengoklah kalau cukup bilangan mereka mungkin jadi (kerajaan).
“Tapi yang saya tak percaya ini tiada keikhlasan daripada Tun, jangan itu satu permainan beliau untuk politik di pihak mereka,” katanya pada sidang media di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir dalam satu klip video Sabtu lalu yang menggesa ahli Bersatu agar menyokong Ketua Menteri Sabah itu sebagai calon Perdana Menteri.
Klip video tersebut dipercayai dirakam pada 26 Jun lalu dan sepatutnya merupakan sesi tertutup bagi ahli Bersatu Perak dan Terengganu.
Pakatan Plus adalah gabungan antara PKR, DAP, Amanah, Warisan dan bekas pemimpin Bersatu yang menyokong Dr Mahathir.
Dalam pada itu, soal menyokong atau tidak mana-mana ahli Parlimen dari Sabah atau Sarawak dinamakan sebagai calon Perdana Menteri tidak timbul kerana GPS kini sudah berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Alexander menegaskan, tiada keperluan untuk GPS menyokong mana-mana ahli Parlimen sebagai calon Perdana Menteri kerana mereka tidak akan mengubah pendirian selepas terbentuknya PN.
“Buat apa nak sokong orang lain selain daripada PN. Sekarang GPS adalah sebahagian daripada Kerajaan PN, sebab itu saya dalam Kabinet.
“GPS tidak akan berganjak, kita sudah buat keputusan, GPS kita ikut secara prinsip, jarang kita mengubah sesuka hati.
“Kita tak mudah berpaling arah, PBB pun sama juga dalam GPS. Tak guna bercakap tentang orang lain, kita sokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri,” tegasnya.
Walaupun calon Perdana Menteri menjadi sebahagian daripada 20 tuntutan GPS sebelum ini, namun bukan dengan cara yang digunakan oleh Dr Mahathir.
“Kita mengalu-alukan kalau ada peluang untuk seseorang sesiapa pemimpin dari Sabah dan Sarawak jadi Perdana Menteri.
“Tapi bukan dengan cara sebegini untuk dapat balik kerajaan daripada PN, maka seorang dari Sabah dinamakan sebagai calon, buat apa,” jelasnya.
Katanya lagi, GPS mahu sebuah kerajaan yang stabil dan perkara itu dicapai apabila terbentuknya Kerajaan PN pada hari ini.
“GPS bersama parti-parti lain sama-sama kita setuju membentuk Kerajaan PN atas dasar kami di GPS nak satu kerajaan yang stabil untuk Malaysia
“Itu prinsip utama kenapa kita bersetuju untuk bersama dengan parti-parti lain dalam PN kerana GPS Sarawak mahukan sebuah kerajaan yang stabil.
“Itu perlu difahami. Kalau nak namakan siapa-siapa jadi PM, sudah semestinya apa ertinya, bahkan jadi huru-hara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Soalnya sekarang adalah berapa banyak wang yang Madey akan bayar pada Sapi Bebal untuk hal ini dengan perjanjian sulit sekiranya menang Sapi akan umum untuk tarik diri dsn berikan jawatan PM tu balik pada Madey.seperti dia bayar DAP dulu untuk jadi Pengerusi PH. Dengar cerita kedai kopu RM 1 billion.. Ini cerita main pondok pondok dan boleh agak punya.