BEIJING (Reuters) – China National Biotec Group (CNBG) berkata, ujian awal vaksin Covid-19 ke atas manusia menunjukkan ia mungkin selamat dan efektif.
Menurut firma itu, calon kedua yang telah menerima vaksin yang dihasilkan oleh CNBG menunjukkan hasil yang menggalakkan dalam satu ujian klinikal.
CNBG memuat naik maklumat tersebut di platform media sosial WeChat, bagaimanapun tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai keputusan ujian tersebut.
Vaksin eksperimen itu dibangunkan oleh anak syarikat CNBG yang berpangkalan di Beijing, menyuntik antibodi paras tinggi kepada semua peserta yang telah disuntik dalam ujian klinikal Fasa 1/2 melibatkan 1,120 manusia sihat, demikian menurut data awal ujian berkenaan.
Syarikat-syarikat dan para penyelidik China dibenarkan untuk melakukan lapan ujian vaksin ke atas manusia di negara tersebut serta di luar negara, menjadikannya peneraju dalam pembangunan vaksin Covid-19 yang ketika ini telah membunuh lebih 500,000 orang di seluruh dunia.
Hanya vaksin yang telah dibuktikan berkesan semasa Fasa 3 ujian ke atas manusia, yang mana melibatkan ribuan peserta akan diberi kebenaran untuk dijual.
Selasa lalu, CNBG berkata, ia akan melakukan ujian Fasa 3 ke atas calon di Emiriah Arab Bersatu.
Namun, ia tidak memberi maklumat khusus mengenai vaksin manakah yang akan dipilih untuk diuji.- MalaysiaGazette