Ibu Pejabat PNB di Jalan Tun Razak

KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan bagi dana harga tetap, Amanah Saham Bumiputera 3 – Didik (ASB 3 Didik) dan dana harga berubah, Amanah Saham Nasional Equity 2 (ASN Equity 2) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2020 masing-masing 4.25 sen seunit dan 2.00 sen seunit.

ASB 3 Didik mengisytiharkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM275.4 juta memanfaatkan 298,560 pemegang unit yang memiliki lebih daripada 6.5 bilion unit.

Setakat 31 Mei 2020, ASB 3 Didik telah mencatatkan pendapatan bersih yang direalisasi bernilai RM251.4 juta.

Sementara itu, ASN Equity 2 mengumumkan jumlah pembayaran agihan pendapatan sebanyak RM29.4 juta.

Ini memberikan hasil dividen sebanyak 4.04% berdasarkan Nilai Aset Bersih dana setakat 25 Jun 2020.

ASN Equity 2 memiliki seramai 33,277 pemegang unit dengan lebih daripada 1.4 bilion unit.

Setakat 31 Mei 2020, ASN Equity 2 mencatatkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM34.6 juta.

Pengagihan pendapatan yang diumumkan oleh dana-dana ini diperolehi daripada keuntungan yang direalisasi, dividen dan pendapatan lain.

Pengiraan pengagihan pendapatan bagi ASB 3 Didik adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut, manakala bagi ASN Equity 2, pengiraan pengagihan pendapatan berdasarkan kepada pegangan pada unit 30 Jun 2020.

Pengagihan yang diisytiharkan oleh kedua-dua dana ini akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan akan dikreditkan secara automatik pada 1 Julai 2020 bagi kedua-dua dana tersebut.

Urus niaga untuk ASB 3 Didik dan ASN Equity 2 telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 25 hingga 30 Jun 2020 bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka melalui portal ASNB www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 Julai 2020 bagi kedua-dua dana ASB 3 Didik dan ASN Equity 2. – MalaysiaGazette